Kerajaan Selangor memandang serius pencemaran bau di sumber air mentah Loji Rawatan Air Sungai Selangor Sungai Selangor melibatkan lebih 400,000 pengguna berdepan dengan ketiadaan bekalan air.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencemaran itu dikatakan berpunca dari kolam ikan yang sebelum ini pernah dikeluarkan arahan penutupan berikutan melanggar peraturan.
Katanya, pihak berkuasa telah membuat serbuan di kolam ikan berkenaan dan dapat menahan seorang pekerja, manakala yang lain sempat melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati air dari kolam itu mengalir masuk ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor menyebabkan berlaku pencemaran baud an kerja hentitugas dikuatkuasakan serta-merta.
“Kerja membersih sedang giat dilakukan dan kita menjangkakan bekalan akan pulih bermula jam 12 malam ini secara berperingkat-peringkat,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.
Berikutan pencemaran itu, henti tugas LRA Sungai Selangir Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, LRA SSP1, LRA SSP2, LRA SSP3 dan Loji Rantau Panjang terpaksa dilakukan.
Lebih 300 kawasan terlibat dengan masalah itu termasuk sekitar Subang, Petaling Jaya, Sungai Buloh, Mutiara Damansara, Universiti Malaya, Taman Sunway, Bukit Jalil, Jalan Kuchai Lama, Sungai Besi, Puchong dan USJ Height.
Beliau menjelaskan, pihaknya akan menghantar bekalan air dengan lori tangka ke kawasan yang menerima tekanan rendah, bagi memastikan penduduk mendapat sumber air untuk keperluan harian terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan.
Katanya, gangguan air mula dikesan antara jam 11 malam hingga 4 awal pagi tadi dan dijangka ;ulih peringkat mulai jam 12 tengah malam ini.
Amirudin menasihat pengguna agar berjimat-cermat menggunakan air dalam tempoh ini.
Ditanya kenapa kolam ikan itu boleh beroperasi sedangkan larangan menutupnya kali pertama dikeluarkan pada 13 Februari lalu, beliau berkata, ia beroperasi secara bersembunyi.
“Memang pada 13 Februari lalu, kerajaan negeri telah mengarahkan operasi kolam itu ditutup kerana melanggar peraturan, tetapi mereka buka diam-diam tanpa pengetahuan kita.
“Kita tidak akan berkompromi dengan pengusaha terbabit dan tindakan tegas akan diambil kerana menyebabkan ratusan ribu pengguna air tidak mendapat bekalan bermula malam tadi,” katanya.
0 Comments