Kerajaan memutuskan untuk memberi kebenaran terhadap sejumlah perkhidmatan dan sektor untuk beroperasi ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Antara yang dibenarkan ialah perkhidmatan gunting rambut asas, perkhidmatan dobi (servis penuh, bukan layan diri) dan industri automotif.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata sektor lain yang turut dibenarkan ialah industri mesin dan peralatan, aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal, perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar, serta perkhidmatan kedai hardware, barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata.

Menterinya Azmin Ali berkata, syarikat-syarikat dalam sektor tersebut perlu membuat permohonan untuk menyambung operasi bermula Isnin ini (13 April) di lamannya.

"Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses," katanya lagi.

Azmin berkata lagi, syarikat dalam sektor tersebut yang dibenarkan beroperasi nanti wajib mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan (SOP).

"Selain itu, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan garis panduan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

"Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan tindakan undang-undang," katanya lagi.