Seorang pemimpin pusat PKR yang turut mempunyai kedudukan dalam kerajaan Selangor dijangka meletak jawatan dan meninggalkan parti itu hari ini.
Sumber memberitahu, pemimpin itu yang juga seorang Adun Selangor kecewa dengan kepimpinan Anwar Ibrahim yang menyaksikan beberapa penyokong bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali disingkirkan daripada parti berkenaan baru-baru ini.
Keputusan pemimpin itu meninggalkan PKR dijangka memberi kesan kepada sayap Wanita parti itu yang ketika ini dilihat sedikit tempang susulan keputusan parti menggantung Ketua Wanitanya, Haniza Mohd Talha sejak April lalu.
Difahamkan beberapa ahli di peringkat bahagian dan cawangan akan mengikut jejak pemimpin terbabit keluar parti, tindakan yang dilihat akan memberikan kesan kepada PKR di peringkat akar umbi.
Pada 5 Jun lalu, Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang mengumumkan keluar parti disebabkan masalah dalaman Pakatan Harapan dan kejatuhan kerajaan gabungan itu susulan peletakan jawatan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad akhir Februari lalu.
Ia menyusul tindakan Ketua PKR Sarawak, Baru Bian meninggalkan parti pada Februari lalu dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PBS) pada 30 Mei lalu.
0 Comments