WOW Kaya! RM62 Billion Tu....

Kedah semalam mengumumkan ia menandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat usaha sama berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melombong elemen nadir bumi (REE) yang dikatakan banyak ditemui di negeri itu.

Perjanjian dengan syarikat itu, dipercayai mempunyai rakan kongsi antarabangsa, akan membolehkannya ia mengekstrak mineral yang disebut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mungkin bernilai sehingga RM62 bilion.

“Ini semua adalah anugerah Allah untuk Kedah dan Malaysia.

“REE tidak mengandungi radioaktif dan mineral ini ada banyak di Kedah, termasuk Sik, Ulu Muda dan Baling, dan ada sedikit di Lenggong, Perak,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sanusi berkata, perjanjian antara kerajaan negeri dan syarikat itu ditandatangani minggu lalu, tetapi beliau enggan menamakan mineral itu atau nama syarikat terlibat.

Katanya, syarikat di KL itu tidak akan melakukan sebarang perlombongan, tetapi paip kecil akan digunakan untuk mengekstrak mineral tersebut.

“Bila dia teroka, dia temui elemen itu, dia kena ‘declare’ kepada kerajaan. Cara ekstrak REE ini tidak melibatkan perlombongan, tidak melombong, dia hanya pakai paip 4 inci, tebuk ‘boarding’ itu dan dia keluar sikit-sikit.”

Dalam perkembangan lain, Sanusi berharap kerajaan persekutuan akan mengubah dasarnya mengenai mineral, di mana sumber itu boleh memperkayakan penduduk tempatan, bukannya orang luar yang meraih keuntungannya.

Julai lalu, kerajaan berkata, negara mempunyai rizab galian logam bernilai RM732 bilion dan kerajaan sedang berusaha menerokanya untuk meningkatkan ekonomi negara.

Bekas menteri air, tanah dan sumber asli, Xavier Jayakumar memberitahu Dewan Rakyat, galian dalam rizab itu ialah arang batu, bijih timah, bijih besi, emas, mangan, pasir silika dan kaolin.

Post a Comment

0 Comments