Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad dijanjikan jawatan pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) jika Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai perdana menteri. Bagaimanapun berkata, perkara itu tidak berlaku.

“Saya dimaklumkan apabila Ahli Parlimen Bera (Ismail) jumpa Ahli Parlimen Langkawi (Mahathir) sebelum beliau dilantik menjadi perdana menteri baru-baru ini, (beliau) telah dijanjikan MPN akan ditubuhkan sekiranya Bera menjadi perdana menteri dan Langkawi dilantik pengerusinya, malangnya janji tak dikotakan,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
“Adalah cadangan kami, Ahli Parlimen Langkawi (menjadi) pengerusi MPN. Ini kerana, tiada kepentingan politik yang nak diletakkan, beliau sendiri umum akan letak jawatan pengerusi PEJUANG, sekiranya dilantik pengerusi MPN,” katanya.

Mukhriz turut mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin sebelum ini “menciplak” idea Mahathir untuk menubuhkan MPN yang diteruskan oleh pentadbiran Ismail.

“MPN dicadang oleh Langkawi sewaktu menghadap Agong sebelum ini, sejurus kemudian kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin umumkan kerajaan nak melakukan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Tak apa, kita anggap mungkin ciplak idea, tapi asal niat membantu rakyat kita tidak halang.

“Kemudian menteri kewangan (ketika pentadbiran Muhyiddin) setelah jumpa Ahli Parlimen Langkawi bincang mengenai MPN, kemudian mengumumkan penubuhan MPN, tetapi melantik Pagoh (Muhyiddin) sebagai pengerusi.”

Beliau berkata, pihaknya terkejut apabila kerajaan pimpinan Ismail mengekalkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN yang didakwanya gagal mengurus krisis Covid-19 sebelum ini.

“Apa Pagoh boleh lakukan sebagai pengerusi MPN bertaraf Menteri, apabila sewaktu menjadi perdana menteri dengan kuasa darurat pun tidak mampu lakukan (tangani krisis Covid-19)?” soalnya.

Beliau berkata, ini berbeza dengan cadangan awal Mahathir bahawa MPN akan dibarisi pakar.

“Sebaliknya, kini kita dapati hanya 50% pakar dilantik dalam MPN, 25% adalah ahli politik kerajaan dan 25% daripada pembangkang,” katanya.

Semalam, Ismail mempertahankan keputusan melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri.

Ismail berkata, pelantikan Muhyiddin dibuat memandangkan bekas perdana menteri itu memegang jawatan tersebut sejak MPN ditubuhkan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN).