Mulai 2027, Kontrak Projek Kerajaan Akan Didedahkan Umum! Rakyat Boleh Semak Kos dan Kontraktor

Mulai tahun depan, netizen malaysia sudah boleh memeriksa dan melihat maklumat berkaitan kontrak projek kerajaan, termasuk kos pembinaan, harga tanah, nama kontraktor dan paling penting adalah status perkembangan projek! Kontraktor dan pegawai yang menyelia projek, standby!

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan itu akan melibatkan projek infrastruktur awam seperti pembinaan sekolah, hospital, universiti dan jalan raya.

Ini Maklumat Yang Akan Didedahkan Umum!

Antara maklumat yang akan dibuka kepada orang ramai ialah:

  • Kos pembinaan bagi sesuatu projek kerajaan.
  • Nilai atau harga tanah yang terlibat.
  • Nama syarikat dan kontraktor yang memperoleh kontrak.
  • Kemajuan projek bagi membolehkan pelaksanaan dipantau.
  • Sebab kontraktor dipilih berbanding syarikat lain yang turut bersaing.

Langkah ini membolehkan rakyat mengetahui dengan lebih jelas bagaimana wang awam digunakan untuk membangunkan kemudahan yang diperlukan masyarakat.

Apabila maklumat kontrak boleh diakses, netizen keyboard warrior sekalian boleh mula menjalankan tugasan baru memantau sama ada sesuatu projek berjalan mengikut perancangan dan kenapa projek tiba-tiba terhenti. 

Jika berlaku kelewatan atau timbul persoalan mengenai kos projek, maklumat yang tersedia boleh membantu netizen menilai pelaksanaannya dengan lebih berasaskan fakta. Pendedahan ini juga sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus kerajaan dan mengurangkan risiko ketirisan dalam penggunaan wang rakyat.

Secara mudah, rakyat bukan sekadar mahu melihat bangunan sekolah atau hospital siap dibina. Mereka juga mahu tahu berapa kosnya, siapa yang bertanggungjawab dan sama ada projek itu dilaksanakan dengan baik.

Tetapi, kita berharap keberkesanan langkah ini dapat direalisasikan dengan penuh dedikasi dan ketelusan tahap tertinggi walaupun kita tahu ia bergantung pada sejauh mana maklumat tersebut mudah diakses, dikemas kini dan boleh digunakan untuk memantau projek.

Pelaksanaan secara terperinci juga perlu dilihat apabila mekanisme pendedahan berkenaan diperkenalkan mulai 2027.

Apa pendapat anda? Adakah pendedahan kontrak kerajaan secara terbuka mampu meningkatkan keyakinan rakyat dan membantu membendung ketirisan? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.

Sumber

  • RTM: https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/kontrak-kerajaan-telus-sepenuhnya-mulai-tahun-depan-pm/
  • Utusan Malaysia: https://www.utusan.com.my/berita/2026/10/kontrak-projek-kerajaan-didedah-secara-telus-tahun-depan-anwar/