Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini bahawa Yayasan Akalbudi tidak memiliki sebarang kereta dan motosikal mewah, walaupun dananya digunakan untuk membayar polisi insurans kenderaan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata, pemilik kenderaan tersebut adalah Ahmad Zahid Hamidi, isterinya Hamidah Khamis dan bekas pembantu, Juhari Janan.

Tambahnya, dana berjumlah RM107,509.55 daripada yayasan Zahid digunakan untuk membayar polisi insurans kenderaan.

“Jejak wang polisi insurans kenderaan masih utuh dan telah disahkan bahawa penjualan dan pembelian dibuat menggunakan cek Yayasan Akalbudi.

“Tidak ada (antara kenderaan berkenaan) yang berdaftar bawah Yayasan Akalbudi,” kata Rozela.

Mahkamah sebelum ini mendengar bahawa Zahid dan Hamidah memiliki lebih 20 kereta dan motosikal mewah merangkumi jenis Mercedes Benz, BMW, Audi, Chrysler, Harley Davidson dan Ducati.

Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa menjadi Menteri Dalam Negeri.

Dua belas tuduhan membabitkan CBT, lapan rasuah dan baki 27 lagi untuk pengubahan wang haram.

Rozela berkata, Zahid juga memiliki lima kad kredit Ambank dan Maybank, dan dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk melunaskan bayarannya.

Sebanyak RM1.3 juta dicaj kepada kad kredit Zahid antara 2014 dan 2016. Kad-kad itu digunakan di pelbagai kedai berjenama di sini dan di luar negara.

“Apabila dilihat penyata kad-kad berkenaan, kita dapat lihat tabiat perbelanjaan tertuduh (Zahid) dan isterinya.

“Ini bukan isunya dalam kes kami, tetapi kami tertanya-tanya: Ketika mereka berbelanja besar di Armani, Louis Vuitton and Hermes, adakah mereka fikir tentang rakyat, terutamanya golongan miskin di Bagan Datuk?” soal Rozela, merujuk kepada kawasan Parlimen diwakili Zahid.

Perbicaraan diteruskan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah esok.