Kenapa Kerajaan Mahu Sekat Pekerja Ke Australia?

Rasuah berterusan malah ditutup rapi dari pelbagai sudut dan akhirnya membebankan negara serta pembangunan yang tidak selari dengan pendapatan rakyat. Situasi akan menjadi lebih runcing dengan keadaan politik negara yang lebih memilih tutup mulut. 

Akhirnya, rakyat memilih untuk berhijrah. Mencari tempat kerja yang tidak tertekan dan mampu membantu keluarga di malaysia sendiri. 

Sepatutnya kerajaan perlu join pekerja asean dan membiarkan pekerja malaysia berhijrah mencari rezeki serta kepakaran untuk dibawa pulang. Mungkin kerajaan boleh menawarkan geran pertanian bagi mereka yang telah lama berkecimpung dalam perladangan di australia dan cuba implikasikan di malaysia. 

FMT | Sebelum berangkat ke Australia, Jamson Agin bergelut untuk menampung kehidupan isteri dan dua anaknya dengan pendapatan hanya lebih RM2,000 sebulan sebagai pembantu peribadi pada waktu siang dan pengawal keselamatan pada malamnya.

“Isteri saya juga bekerja, tetapi kami hanya cukup-cukup makan dan bergelut untuk menjadi stabil,” kata Jamson yang berasal dari Sabah.

“Perlu membayar komitmen bulanan dan menghantar anak-anak kami ke pusat asuhan, kami tidak ada banyak wang.”

Kemudian, Jamson mendapat tahu daripada rakannya mengenai peluang pekerjaan di ladang di Australia, lalu beliau membuat keputusan untuk merebutnya pada awal 2019.

Keputusannya ini menguntungkan.

“Banyak pekerjaan yang warga Australia tidak mahu buat,” katanya kepada FMT.

“Saya bermula dengan memetik anggur dengan pendapatan bulanan AUD2,800 (RM8,500). Walau setelah dikira sewa dan cukai, saya masih dapat menghantar separuh gaji saya pulang kepada keluarga di Malaysia dan hidup dengan selesa (di sini).”

Beliau berpindah mengikut musim ke pelbagai ladang buah-buahan di Victoria sebelum akhirnya mendapat pekerjaannya kini di Drouin.

“Ia kehidupan yang baik, tiada tekanan. Saya ada pekerjaan dengan gaji yang bagus dan pada masa sama saya dapat menanggung isteri, anak-anak dan ibu bapa di tanah air,” katanya.

Namun kini Jamson risau dasar kerajaan Malaysia akan menjejaskan keselesaan hidup yang dinikmatinya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim memberitahu Dewan Negara bahawa Malaysia tidak akan mengambil bahagian dalam skim visa pekerja ladang ASEAN.

Visa ini akan membolehkan majikan Australia menaja pekerja berkemahiran, separuh mahir dan tidak berkemahiran dari rantau ASEAN untuk bekerja di ladang mereka.

“Agak tidak adil kerajaan cuba menghalang rakyat Malaysia daripada datang ke sini untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, terutamanya apabila ramai kini sedang bergelut,” kata Jamson.

“Kebanyakan daripada kami hantar banyak duit pulang ke Malaysia untuk bantu keluarga kami di sana.”

Mengenai dakwaan Awang bahawa visa itu menjadi laluan bagi rakyat Malaysia menjadi penduduk tetap di Australia, Jamson berkata, pekerja ladang Malaysia yang dikenalinya tiada hasrat untuk menetap di Australia untuk jangka masa panjang.

“Hartanah sangat mahal di Malaysia dan dengan gaji yang rendah, sangat sukar menyimpan wang untuk membeli rumah,” katanya.

“Rakyat Malaysia yang saya kenali mahu memperoleh wang yang cukup untuk melunaskan pinjaman perumahan mereka di tanah air dan mengumpul sedikit wang supaya mereka dapat pulang dan hidup dengan selesa tanpa tekanan dan komitmen.”

Menurut Jamson, seorang bekas rakan sekerjanya, yang kini menetap di Tawau, berjaya mengumpul hampir AUD65,500 (RM200,000) dalam tempoh hanya dua tahun dan jumlah itu cukup untuk membeli sebidang tanah dan membina rumah untuk diri dan keluarganya.

“Hidup yang selesa dan bebas daripada tekanan sangat penting bagi saya dan saya harap lebih ramai orang dapat peluang untuk menikmatinya,” katanya.


Post a Comment

0 Comments