Keluarga yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan menerima tambahan RM100, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Ini berikutan kenaikan kos sara hidup, dengan perdana menteri menjangkakan harga ayam dan telur ayam akan naik bulan depan selepas harga siling dimansuhkan.

Bagi penerima BKM bujang, mereka akan menerima tambahan RM50.

Ismail yang berucap melalui siaran langsung berkata bayaran tambahan itu akan ditambah kepada fasa dua pembayaran BKM - yang akan diberikan secara berperingkat mulai 27 Jun.

Bagi isi rumah, Ismail berkata ini bermakna pembayaran fasa 2 sebanyak RM400 akan dinaikkan kepada RM500.

“Bayaran BKM tambahan yang akan dibayar bersama dalam fasa 2 akan melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM630 juta,” katanya.

Ini bermakna jumlah pembayaran dinaikkan kepada RM1.74 bilion.

“Pembayaran ini akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima terdiri daripada empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta bujang,” kata Ismail.

Dia turut menambah bahawa kerajaan sentiasa menyedari keperluan semasa, terutamanya melibatkan kenaikan harga.

Ismail berikrar akan memastikan kumpulan sasar mendapat bantuan.