https://apicms.thestar.com.my/uploads/images/2020/06/24/731634.jpg

Kelewatan membuat keputusan mengenai jawatan Zuraida Kamaruddin dalam kabinet menunjukkan kedudukan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang lemah, kata Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed.

“Bercelaru dan mencerminkan kedudukannya yang lemah. Beliau tidak boleh buat keputusan atau menegaskan kuasanya kerana menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu.

“Hakikat beliau lambat buat keputusan menunjukkan bahawa beliau mungkin sedang berlengah. Sudah lebih dua minggu (Zuraida) meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan beliau masih dalam Jemaah Menteri.

“Tidak pernah seorang perdana menteri Umno selemah ini dalam sejarah negara,” Nur Jazlan dipetik sebagai berkata dalam laporan Free Malaysia Today.


Nur Jazlan mengulas mengenai sikap berdiam diri Ismail yang masih tidak menyatakan sama ada menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu akan digugurkan atau digantikan dengan ahli parlimen lain.

 

 

Katanya, Zuraida bukanlah menteri yang penting kerana terdapat ramai ahli parlimen lain yang mampu mengendalikan kementerian berkenaan.

Ketika ditanya apakah Ismail mungkin bimbang tiga ahli Parlimen PBM mungkin menarik balik sokongan mereka, yang boleh menjejaskan undian rang undang-undang pada sidang parlimen akan datang, Nur Jazlan berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku apabila kedudukan perdana menteri lemah.

Semalam, Muhyiddin berkata Ismail berhak mengekalkan Zuraida dalam kabinet, namun perdana menteri perlu mengekalkan kuota menteri bagi Bersatu.

Muhyiddin juga berkata dia masih menunggu tarikh untuk bertemu Ismail Sabri dan membincangkan penggantinya.

Tambah Muhyiddin, dia telah menyediakan nama pengganti Zuraida tetapi masih belum diserahkan kepada Ismail Sabri.

Pada Mei lalu Zuraida mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu bagi menyertai PBM dan berkata dia akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri dengan Ismail.

Pada 19 Jun lalu, Zuraida berharap agar dia dikekalkan dalam kabinet bagi meneruskan program yang dirancang di bawah kementeriannya.

MKini