UK Panik! Catuan Makanan, Ramai Mula Bercucuk Tanam.. Standby Gais!



Kebanyakan rakyat Britain ketika ini berdepan situasi sukar susulan kenaikan kos hidup, terutamanya melibatkan produk makanan dan bahan api.

Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh BBC, lebih separuh daripada 4,011 responden iaitu 56 peratus memaklumkan mereka kini mengambil pendekatan mengurangkan pembelian barangan runcit, malah ada yang terpaksa mencatu makanan.

Masyarakat juga menyekat perbelanjaan mereka terhadap pakaian dan bersosial, selain ada yang mendakwa kesihatan mental terjejas kerana ‘kesukaran hidup’ ketika ini.

Sebanyak dua per tiga daripada responden turut menyatakan bantuan dan sokongan yang disediakan kerajaan ketika ini tidak mencukupi.

Kaji selidik itu melibatkan penduduk dewasa di seluruh United Kingdom (UK) yang dilakukan pada awal bulan ini berkenaan bagaimana perubahan ekonomi mempengaruhi kehidupan, kewangan, fizikal dan kesihatan mental.

Kos tenaga dalam negeri, petrol dan makanan dilaporkan meningkat mendadak sejak beberapa bulan lalu dan kaji selidik mendapati lebih lapan dari 10 orang atau 81 peratus menzahirkan kebimbangan mengenai kenaikan kos hidup ketika ini.

Selain itu, 66 peratus responden bimbang situasi semasa boleh menjejaskan kesihatan mental mereka, manakala hampir separuh (45 peratus) daripadanya mengakui kesihatan fizikal mereka sudah pun terjejas.

Bagi berdepan dengan situasi sukar itu, rakyat di negara ini melakukan beberapa perubahan untuk menguruskan bajet mereka setiap hari.

“Banyak keluarga mula menanam tanaman sendiri di belakang rumah bagi mengurangkan pembelian sayur dan buah di pasar raya.

“Jumlah orang yang mula bimbang dengan ekonomsi semasa juga semakin bertambah dari semasa ke semasa, sekali gus menunjukkan keadaan sebenar,” kata sukarelawan kebajikan, Janine Colwill.

Antara langkah yang dilakukan masyarakat untuk menguruskan kewangan mereka termasuk:

  •  82 peratus memilih untuk mengurangkan penggunaan barangan elektrik setiap hari.
  • 84 peratus mengurangkan perbelanjaan membeli pakaian sejak enam bulan lalu.
  • 72 peratus mengurangkan penggunaan kereta kerana tidak mahu mengisi petrol yang mahal sejak enam bulan lalu.
  • 52 peratus lagi dijangka akan melakukan kerja tambahan bagi melunaskan bil-bil utiliti.

Bagi mengatasi krisis yang berlaku, kerajaan mengumumkan pakej sokongan kewangan khas untuk golongan berpendapatan rendah.

Pakej itu termasuk diskaun sebanyak 400 pound (RM2,164) untuk semua bil tenaga dan berkuatkuasa pada Oktober ini.

Namun, kaji selidik yang dilakukan mendapati 64 peratus rakyat negara ini menyifatkan bantuan tersebut tidak mencukupi untuk meringankan beban yang mereka perlu tanggung.

Sehubungan itu, masyarakat meminta supaya kerajaan meneliti semula pemberian pakej tersebut seiring dengan lonjakan kos hidup yang berlaku.

Dalam pada masa yang sama, bank turut mengingatkan peminjam supaya menguruskan kewangan mereka dengan lebih cekap supaya tidak terlibat dengan hutang yang lebih banyak.

Utusan


Post a Comment

0 Comments