16 Jahitan - Pada Kerana Lapor Penyelewengan Lepada SPRM


Seorang ahli NGO yang mengadu kepada SPRM berhubung kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) menerima 16 jahitan di tengkuk selepas diserang oleh seorang individu tidak dikenali.

Dalam kejadian 1.40 petang di sebuah hotel di Kajang semalam, Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) Mani Maran Manickam diserang dari belakang oleh individu tersebut.

"Ketika saya daftar keluar dari hotel dan berjalan ke kereta, individu itu menghampiri saya dan berbual berkaitan isu Penjana Kerjaya. Pada awalnya, dia bercakap seolah-olah menyokong tindakan saya.

"Tapi tiba-tiba dia tanya saya kenapa dakwa dua pemimpin dari sebuah parti politik yang sebelum ini saya kaitkan dengan penyelewengan Penjana Kerjaya.

"Ketika saya cuba beredar dari situ, individu itu tiba-tiba serang dari belakang di leher dan terus melarikan diri. Saya percaya ini satu perbuatan cubaan bunuh," katanya kepada Malaysiakini.

Mani Maran berkata dia menerima 16 jahitan di leher dan serangan dipercayai menggunakan pisau cukur.

"Saya membuat laporan polis terhadap dua pemimpin itu kerana saya percaya individu itu menyoal secara spesifik berkaitan dakwaan terhadap dua pemimpin itu.

"Saya minta pihak polis siasat dua pemimpin itu," katanya.

Tambahnya, dia pernah melihat individu tersebut bersama-sama pemimpin dari sebuah parti politik.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan mengesahkan menerima laporan.

"Saya mengesahkan laporan polis diterima," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 22 Julai Mani Maran membuat laporan SPRM dan menyerahkan apa yang didakwa sebagai bukti kepada badan pencegah rasuah itu.

Menurut laporan Bernama, pada 14 Julai lepas SPRM telah menahan 37 individu menerusi Op Hire bagi membantu siasatan berhubung isu itu.

Setakat 20 Julai lalu, seramai 45 individu telah ditahan SPRM bagi membantu siasatan.

Mani Maran berkata pihaknya telah menyerahkan nama-nama yang dimaksudkan kepada SPRM.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments