Mexico kelmarin menangkap seorang raja dadah yang berada dalam senarai 10 orang buruan paling dikehendaki oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana membunuh seorang ejen Amerika Syarikat (AS).
Rafael Caro Quintero, 69, dituduh oleh AS sebagai bertanggungjawab mengarahkan penculikan, penyeksaan dan pembunuhan ejen khas Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA), Enrique ‘Kiki’ Camarena dalam tahun 1985.
Dia ditahan pasukan marin Mexico di bandar Choix, negeri Sinaloa, barat laut Mexico bagi tujuan ekstradisi.
Caro Quintero sudah diberkas dalam tahun 1985, dibicarakan di Mexico dan dihukum penjara selama 40 tahun berhubung pembunuhan Camaren.
Bagaimanapun pada 2013, sebuah mahkamah Mexico mengarahkan Caro Quintero dibebaskan atas sebab teknikal selepas menjalani hukuman penjara selama 28 tahun. Pembebasannya bagaimanapun mencetuskan kemarahan pihak berkuasa AS.
Mahkamah Agung Mexico kemudian membatalkan keputusan tersebut tetapi ketika itu, Caro Quintero telah melarikan diri.
Kesnya menyebabkan hubungan AS-Mexico bertukar dingin, manakala masa beberapa dekad diperlukan untuk agensi antidadah kedua-dua negara membina semula kepercayaan antara satu sama lain.
Pihak berkuasa menawarkan ganjaran AS$20 juta (RM88.9 juta) terhadap Caro Quintero yang disifatkan FBI sebagai ‘sangat berbahaya’.
Dia dituduh menjadi pengasas bersama kartel dadah Guadalajara yang sudah berkubur dan ketika ini turut mengendalikan kartel dadah Sinaloa, demikian menurut pihak berkuasa AS.
“Tiada tempat persembunyian untuk sesiapa yang menculik, menyeksa dan membunuh anggota penguat kuasa undang-undang AS,” kata Peguam Negara, Merrick Garland.
Pada tahun 2016 dalam satu wawancara bersama majalah berita Proceso, Caro Quintero menafikan membunuh Camarena. Kisah ejen DEA itu dipaparkan dalam program Netflix yang berjudul Narcos: Mexico.
“Saya tidak menculik, menyeksa atau membunuhnya. Saya memohon maaf kepada masyarakat Mexico atas kesilapan yang saya lakukan, saya meminta maaf kepada keluarga Camarena, kepada kerajaan AS dan DEA,” katanya sambil menambah, dia mahu melupakan kisah lalu dan membuka ladang ternakan lembu.
Pembunuhan Camarena dianggap sebagai perbuatan balas dendam selepas siasatan oleh ejen DEA itu membawa kepada rampasan sebuah ladang ganja di Chihuahua.
Kartel dadah Guadalajara yang berkuasa dalam tahun 1980-an, dianggap sebagai ‘nenek moyang’ kepada kartel-kartel dadah moden Mexico.
Kartel Guadalajara adalah yang pertama menjalinkan hubungan dengan raja-raja dadah Colombia untuk mengangkut kokain dari negara Amerika Selatan itu ke AS.
Pengasas kartel berkenaan yang lain iaitu Miguel Angel Felix Gallardo dan Ernesto Fonseca Carillo, juga dijatuhi hukuman penjara yang panjang untuk pembunuhan Camarena.
Kehilangan kartel Guadalajara membawa kepada kebangkitan kartel dadah Sinaloa yang diketuai oleh Joaquin ‘El Chapo’ Guzman.
Pada tahun 2017, Mexico mengekstradisi Guzman ke AS di mana dia menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Keganasan antara kartel dadah menyebabkan lebih 34,000 orang terbunuh di Mexico sejak kerajaan mengerahkan pihak tentera melancarkan perang terhadap dadah dalam tahun 2006.
1 Comments
di negara ku malaysia lain pula sekarang telah berlaku agak bermaharajalela sendikit2 makluk2 perusak merebak seperti penyakit wabak sana sini sesuka hati membuat perembahan2 menghina islam, melayu dan bumiputra, disarankan hukuman direvis semula dan tahanan reman sekurang2nya satu minggu
ReplyDelete