Berperang Dihujani Peluru Komunis Tapi Tidak Pernah Terima Pencen!?



Hampir lima dekad berlalu, namun kejadian dihujani peluru sekumpulan pengganas komunis pada 30 Mac 1973 ketika berperahu di Sungai Kanowit, masih segar dalam ingatan Nyayang Angie.

Pada usia 91 tahun, memori bekas anggota Pengakap Sempadan Sarawak itu ternyata masih kuat untuk mengimbas kejadian pada petang hari tersebut yang turut menyaksikan seorang rakan seperjuangannya cedera di mulut, terkena peluru musuh.

“Kami berempat sahaja (ketika itu), berbalas tembak dengan komunis dari pukul empat hingga enam petang,” kongsinya ketika ditemui media selepas sambutan Hari Pahlawan Bahagian Sibu, di Monumen Pahlawan Kanowit di Kanowit baru-baru ini.

Menurut Nyayang, insiden di Lubok Garan, Ulu Sungai Kanowit, Julau itu berlaku ketika dia dan tiga rakan seperjuangan dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Pos Entabai, selepas menghadiri majlis penghargaan atas kejayaan terdahulu mereka “menumbangkan” beberapa pengganas komunis di Majau, pada awal bulan berkenaan.

“Kami ditembak bertalu-talu hinggakan saya siap berdiri di atas perahu dan membalas tembakan pengganas.

"Malah, enjin sangkut perahu kami juga bocor ditembusi peluru musuh. Syukur, umur kami masih panjang dan berjaya mengatasi serangan itu walaupun rakan saya Chakat cedera terkena tembakan di mulut,” ceritanya.

Nyayang merupakan antara anggota terawal Pengakap Sempadan Sarawak, iaitu unit khas yang ditubuhkan pada 1964 bagi menjadi "mata dan telinga” polis semasa era Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Peranan pasukan itu yang dianggotai oleh etnik antaranya Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah dan Kelabit, kemudian dikekalkan bagi membantu pihak berkuasa membanteras komunis yang menyusup masuk ke Sarawak dari Kalimantan Utara.


Pantang maut sebelum ajal

Tegas anak Iban yang berasal dari Ensiring, Julau itu, semangat yang tertanam dalam jiwanya pada saat tersebut mungkin tidak pernah dirasai oleh generasi selepasnya.

Bercerita lanjut, Nyayang berkata insiden di Majau pula berlaku pada 1 Mac, di mana dia berjaya menembak mati dua pengganas termasuk timbalan komander Rejimen Ketiga Parti Komunis Kalimantan Utara.

Kisahnya berdepan maut tidak berakhir di situ apabila pada Oktober tahun sama dia nyaris terkorban selepas ditembak oleh seorang anggota komunis.

“Insiden ini berlaku di Ulu Lijan. Saya terserempak dengan seorang pengganas komunis sedang mandi di sebatang sungai di situ lalu saya menembak mati pengganas itu. Tapi, saya tidak sedar ada seorang lagi komunis tidak jauh dari situ dan dia melepaskan beberapa das tembakan ke arah saya sebelum melarikan diri.

“Ajal saya belum sampai, hanya satu peluru mengenai saya, iaitu menggeser bahagian belakang menyebabkan baju saya terkoyak dan kulit bergores,” kongsinya lagi.

Lanjut Nyayang, lima tahun kemudian pada 1978, ketika negara sedang meraikan sambutan hari kemerdekaan ke-21, dia terlibat dalam satu lagi pertempuran dengan pengganas komunis.

Dalam operasi di Sungai Machan itu, dia berjaya menembak mati dua pengganas sementara seorang lagi maut terkena tetakan parangnya.


‘Jasa seolah hilang’

Nyayang menamatkan perkhidmatannya dengan pangkat koperal pada 1986 dan dilantik menjadi tuai rumah panjang di Ensiring, dua tahun kemudian.

Menurutnya, pengalaman bertempur dengan pengganas komunis selain kekacauan yang dicetuskan oleh kumpulan itu di Kanowit dan Julau khususnya, sukar untuk dia lupakan.

Katanya lagi tiga rakan seperjuangannya yang terselamat dalam serangan hendap di Lubok Garan itu telah meninggal dunia.

Namun, katanya, amat menyedihkan kerana jasa mereka seolah-olah “hilang” begitu sahaja, tanpa sebarang pengiktirafan.

“Saya harap kerajaan ingat kepada saya, saya tidak pernah lari daripada kerajaan. Berhenti kerja (pengakap sempadan) ini, saya jadi tuai rumah dari 1988 hingga sekarang,” tambahnya.

Bagaimanapun menurut Nyayang, dia pernah menerima pingat Bentara Bintang Sarawak ketika masih dalam perkhidmatan dan pingat Ahli Bintang Sarawak pada 2017.

“(Namun) sejak bersara hingga sekarang, saya tidak pernah menerima pencen. Cuma ada bantuan one-off, tapi lain-lain tidak ada,” ulasnya yang berharap kerajaan, baik negeri mahupun pusat, mengenal pasti veteran sepertinya dan menghulurkan bantuan sebagai penghargaan.

“Saya harap pihak berkenaan dapat membantu saya dan rakan-rakan lain yang masih ada, untuk sekurang-kurangnya memberi sedikit pengiktirafan bagi mengenang sumbangan kami semasa menentang pemberontakan komunis dahulu,” katanya.

Post a Comment

0 Comments