Selepas dihimpit kontroversi mengenai kedudukan rumah tangga mereka, akhirnya penyanyi kumpulan Hujan, Noh Salleh, tampil mengesahkan berita itu melalui media sosialnya hari ini.
Katanya perceraian itu berlaku selepas 11 tahun dia dan Mizz Nina hidup sebagai suami dan isteri.
Kata Noh, keputusan itu diambil selepas memikirkan perpisahan adalah jalan yang terbaik bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka selama ini.
“Nina dan saya ada perkara penting untuk diumumkan.
“Selepas memikirkan semasak-masaknya, kami sepakat untuk berpisah,” tulisnya.
Kenyataan itu turut dikongsi Mizz Nina melalui akaun media sosialnya pada saat yang sama.
Noh dan Mizz Nina berkahwin pada 2011. Mereka dikatakan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, Noh dan Mizz Nina memfailkan perceraian di mahkamah sama pada 14 Jun lalu.
Pada 3 Mac lalu, Noh dan Mizz Nina menguar-uarkan keputusan mereka mengambil seorang anak angkat, Musa, bagi menyerikan perkahwinan mereka.
Pada awal Julai lalu pula, Noh menafikan rumah tangganya mengalami keretakan apabila media bertanya. Malah dia menegaskan berita itu sebagai palsu.
Usah buat spekulasi
Mengulas lanjut perceraiannya, pemilik nama penuh Mohammad Noh Salleh itu berkata, dia bersyukur kerana diizinkan Tuhan untuk menikmati hidup yang indah sebagai pasangan Mizz Nina.
Katanya, dia dan Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman akan terus berkawan walaupun sudah memilih jalan masing-masing.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan kami menghabiskan 11 tahun yang indah bersama-sama dalam suka, duka dan penuh mencabar.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang sering menunjukkan kasih sayang kalian kepada kami selama ini.
“Jangan risau, kami masih berkawan dan saling mendoakan kesejahteraan satu sama lain,” katanya.
Noh, 37, meminta dia dan Mizz Nina diberikan ruang privasi agar tidak dilemparkan sebarang tuduhan yang tidak wajar.
“Tolong doakan kami banyak-banyak terutamanya ketika tempoh iddah ini.
“Kami juga memohon jasa baik anda untuk menghormati privasi kami seperti yang tertulis di dalam Surah al-Hujurat ayat 12 agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan andaian palsu mengenai kami untuk mengelak fitnah. Apa yang kami perlukan hanyalah doa dari kalian semua,” katanya.
0 Comments