Prof UM - Tiada Istilah Perdana Menteri "Caretaker" Dalam Perlembagaan Malaysia



Seorang pakar perlembagaan menolak tanggapan bahawa perdana menteri “caretaker” (sementara) boleh dilantik memandangkan tiada satu pun gabungan utama memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Profesor adjung di Universiti Malaya, Philip Koh berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sedemikian.

“Istilah ‘caretaker’ dilampirkan untuk menggambarkan ketua eksekutif Jemaah Menteri, contohnya pemegang jawatan selepas Parlimen dibubarkan sehingga individu baharu yang menguasai majoriti dilantik sebagai perdana menteri,” katanya kepada FMT.

“Kata sifat seperti ‘interim’ dan ‘caretaker’ tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Beliau menjawab gesaan wartawan veteran Terence Netto supaya perdana menteri sementara dilantik.

Koh berkata, Yang di-Pertuan Agong akan memilih seorang Ahli Parlimen yang berkemungkinan mendapat kepercayaan Dewan Rakyat apabila ia bersidang.

“Ini bermakna baginda mempunyai budi bicara dari segi perlembagaan untuk membuat penilaian objektif,” katanya.

Bagaimanapun, masalah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah ia tidak memberikan sebarang panduan untuk budi bicara sedemikian, katanya.

Oleh itu, kini wujud perdebatan antara penyokong model Westminster, yang menjadi asas sistem Parlimen negara, dan mereka yang berpendapat perlembagaan negara tidak mempunyai kekangan seperti itu melalui konvensyen.

Jadi berhubung melantik Ahli Parlimen dengan sokongan terbanyak, masalah yang timbul adalah bagaimana untuk memastikan sokongan, kata Koh.

“Perdana menteri yang dilantik perlu segera tertakluk kepada undi percaya di Dewan Rakyat. Itu akan menyelesaikan kebuntuan.”

Pada PRU Sabtu lepas, tiada mana-mana gabungan yang memperoleh kerusi mencukupi untuk majoriti di Dewan Rakyat.

Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional 73 kerusi, Barisan Nasional (30), GPS (23), GRS (6), Warisan (3), dan Parti Bangsa Malaysia satu kerusi. Dua orang calon bebas turut terpilih.

Kedua-dua pengerusi PH dan PN mendakwa mereka mempunyai sokongan yang mencukupi untuk majoriti, dengan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini menolak sebarang pakatan dengan PH.

Post a Comment

0 Comments