PRU15 - Pengakhiran Retorik Politik BN & PH ? Era Politik Baru Bermula?



Kejayaan pemerintahan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Perak mampu membuktikan bahawa retorik politik berbaur ketaksuban, ekstremisme dan fitnah tidak relevan serta akan dipinggirkan, kata Mujahid Yusof Rawa.

“Saya akan memastikan prinsip besar pemerintahan akan dilaksanakan dalam kerajaan Perak melalui panduan maqasid syariah dan prinsip manusiawi yang unggul. Politik sempit hanya sesuai untuk pemimpin-pemimpin yang meletakkan diri mereka pada tahap picisan,” 

Beliau berkata, selesainya proses pembentukan kerajaan negeri Perak bermakna satu era baharu telah bermula, yang menyaksikan gabungan dua pihak yang selama ini bertentangan bersepakat untuk mendahulukan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“PH dan BN mungkin mempunyai dua retorik politik yang berbeza namun retorik itu perlu tunduk kepada prinsip lebih besar seperti keterangkuman, kesederhanaan dan keadilan sosial,” katanya.

Sementara itu, Mujahid turut mengakui satu perjanjian dibuat bersama Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad pada 21 Nov bagi membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan 33 orang ADUN.

“Keunikan kerajaan Perak yang baharu ini ialah ia terdiri daripada gabungan dua parti yang selama ini sentiasa berada dalam pihak yang bertentangan antara satu sama lain.

“Namun segala pertentangan ini tidak menjadi halangan kepada keperluan perundangan untuk membentuk sebuah kerajaan. Undang-undang bebas ideologi, undang-undang hanya melihat kepada prinsip dan ia perlu dipatuhi tanpa sentimen dan emosi,” katanya.

Tambahnya, satu perjanjian persefahaman telah ditandatangani antara kedua-dua belah pihak untuk memastikan butiran pentadbiran kerajaan dikongsi bersama demi memastikan kelestarian dan kestabilan negeri.

Terdahulu, Istana Perak mengisytiharkan ia berpuas hati dengan bilangan kerusi yang dikemukakan BN dan PH, sekaligus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, PH memenangi 24 kerusi DUN di Perak, Perikatan Nasional 26 kerusi dan BN sembilan.

Post a Comment

0 Comments