Ticker

6/recent/ticker-posts

Mungkin Dinilai Semula - Syarikat GLC Yang Jaga Kepentingan Bumiputera



Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus mempertahankan kepentingan agenda Bumiputera.

Perkara tersebut ditegaskan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika ditanya kebimbangan masyarakat Melayu terhadap imej ‘bercampur’ kerajaan gabungan dalam isu berkenaan.

“Saya tidak nampak ada sebarang perubahan drastik kepada sebarang perancangan oleh kerajaan lama yang dibuat sebelum ini sebab semuanya kekal macam biasa,” kata selepas merasmikan Persidangan ‘Kick-Off’ Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dianjurkan Unit Perancang Ekonomi (EPU), semalam.

Program dengan kerjasama Bank Dunia itu susulan penyediaan draf dokumen pelan lima tahun sejak September lalu sebelum dibentangkan di Parlimen pada September 2023.

Turut hadir pada acara yang berlangsung padat sehari itu ialah Ketua Pengarah EPU, Datuk Nor Azmie Diron dan Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda.

Menurut  Rafizi, secara keseluruhan pengubalan RMK12 yang bermula pada 2021 dan berakhir pada 2025 turut mengambil kira kepentingan Bumiputera.

“Pelan jangka panjang ini sudah bagus tetapi yang kita bimbang ialah pelaksanaan dan adakah ia memberi nilai terbaik kepada rakyat dengan kos cukup berbaloi,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau  tidak menolak kemungkinan akan ada perubahan sedikit kerana kerajaan perlu menyelaraskan dengan situasi sekarang yang tidak difikirkan ketika awal RMK12 lalu.

“Saya beri jaminan bahawa kepentingan Bumiputera tetap masih dipelihara selaras dengan peruntukan ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, beliau menjangkakan ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ‘jaga’ kepentingan Bumiputera mungkin perlu dinilai supaya sesuai dengan keperluan semasa.

Bagaimanapun, kata Rafizi, perkara itu masih dalam penelitian kementeriannya yang berperanan dalam isu perancangan makro jangka panjang dan diselaraskan pelbagai pihak lain. 

– UTUSAN

Post a Comment

0 Comments