AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), cabang syarikat penerbangan di bawah Capital A Berhad memperuntukkan pelaburan sebanyak AS$25 juta (RM109 juta) untuk syarikat penerbangan tambah rendah baharunya di Kemboja, AirAsia Cambodia.
Syarikat tersebut ditubuhkan menerusi perjanjian usaha sama (JV) dengan Sivilai Asia yang ditandatangani semalam.
AirAsia Cambodia akan memperkukuh lagi jenama AirAsia di Kemboja dan Indochina, menyediakan akses yang lebih besar kepada pasaran domestiknya dan menghubungkannya ke pasaran antarabangsa di seluruh Asean, Asia Utara dan seterusnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kedua-dua syarikat akan melabur sebanyak AS$25 juta (RM109 juta) dengan pelaburan permulaan sebanyak AS$5 juta (RM21.9 juta)
Ujarnya, kehadiran AirAsia Cambodia juga akan memberi manfaat pelaburan tidak langsung yang dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ini termasuk latihan serta membawa masuk pelancong ke negara ini. Kemboja juga mempunyai pertumbuhan yang baik dalam eksport dan kami dapat membantu mengurangkan kos mereka dalam melakukan perniagaan.“Dalam masa sama, syarikat dari Malaysia juga dapat meningkatkan lagi import dari negara ini,” katanya majlis menandatangani perjanjian dan pengumuman rasmi AirAsia Cambodia di Hotel Rosewood, di sini semalam.
Perjanjian telah ditandatangani oleh Tony yang mewakili Capital A dan Pengarah Sivilai Asia, Vissoth Nam, disaksikan dan dipengerusikan oleh Menteri Sekretariat Penerbangan Awam Negeri, Dr. Mao Havannal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL, Bo Lingam.
Sementara itu, beliau berkata, AirAsia Cambodia berhasrat untuk merangsang lagi industri penerbangan di Kemboja, melancarkan destinasi baharu yang menarik dan mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa operasi syarikat penerbangan tambang rendah di negara itu.
“Kemboja ialah negara Asean kelima di mana kami meneruskan usaha sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo nombor satu rantau ini, serta memacu pertumbuhan ekonomi bagi negara-negara Asean.“Nilai rangkaian AirAsia adalah aset yang tidak dapat diatasi dan akan membuka peluang yang lebih besar untuk menghubungkan Kemboja ke rantau ini, selain China, India dan Asia Utara,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya menjangkakan AirAsia Cambodia bakal beroperasi pada separuh kedua tahun depan.
– UTUSAN
0 Comments