Rafizi Minta PN Sabar, Jadi Pembangkang Perlu Pengetahuan Dasar..



Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata dia akan bercakap atas kapasiti seorang timbalan presiden PKR hanya selepas waktu kerjanya sebagai menteri.

Rafizi berkata ia penting kerana sebagai seorang menteri dalam kabinet, dia telah dibayar oleh pembayar cukai untuk menyelesaikan isu-isu negara.

“Keutamaan sekarang adalah melaraskan dasar-dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak paling besar kepada rakyat dalam persediaan kita menghadapi cabaran ekonomi 2023 yang dijangka lebih menguji kekuatan dan daya tahan ekonomi negara.

“Di luar waktu kerja, saya akan berdepan dengan Perikatan Nasional/PAS. Saya akan menjawab isu-isu yang mereka mainkan.

“Mereka ingat jadi pembangkang ini hanya menimbulkan sentimen kebencian. Mereka lupa bahawa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Rafizi turut berkata dia akan menggariskan perancangan untuk persediaan menghadapi pilihan raya negeri di enam buah negeri.

Katanya, selepas seminggu memahami keadaan semasa kementerian, dia juga akan menyiarkan kandungan-kandungan politik bagi “mematahkan sentimen kebencian” sedia ada.

“Masa yang dibayar gaji oleh rakyat adalah tanggungjawab negara dan tidak boleh digunakan untuk kerja-kerja politik.

“Masa kami sendiri (seperti waktu malam, hujung minggu dan lain-lain) adalah masa untuk berkempen supaya tidak ada campur aduk di antara tanggungjawab sebagai menteri dan tanggungjawab sebagai timbalan presiden parti,” katanya.


Malaysiakini 

Post a Comment

0 Comments