PN Cuba Curi Cinta PH BN Di Pahang... Hmmmmm



Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan keputusan untuk bekerjasama dengan PH adalah bagi memastikan pembentukan kerajaan negeri yang stabil.

Katanya, rundingan dengan PN untuk menubuhkan kerajaan gagal kerana sikap pimpinan gabungan parti itu yang dilihat terlalu mementingkan jawatan.

Berucap pada ceramah umum PRU15 di Rompin malam tadi, Wan Rosdy berkata sebelum kerajaan negeri dibentuk dia dihubungi pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari.

Katanya pada masa itu Amiruddin menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama tanpa syarat kepada BN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata dia juga kemudiannya dihubungi pimpinan PN di mana dia bertemu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Idris Ahmad.

"Dalam pertemuan itu, timbalan presiden PAS telah bercakap dulu dan ketika itu kerajaan (Persekutuan) belum ditubuhkan lagi.

"Ayat pertama dikeluarkan kepada saya mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju melantik saya sebagai senator dan diberi jawatan menteri penuh.

"Saya ni terkejut dalam hati, kerajaan tak tubuh lagi ni, macam mana boleh 'offer' kepada saya," katanya kepada penyokong yang hadir pada ceramah tersebut.

Selain Amirudin, turut hadir dalam ceramah itu ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan bekas ahli parlimen Kuala Nerang, Khairuddin Aman Razali.


  PN mahu jawatan diagihkan  

Wan Rosdy berkata, Tuan Ibrahim kemudiannya memaklumkan PN mahu jawatan menteri besar Pahang, jawatan speaker DUN dan jawatan Exco diagihkan seimbang antara BN dan PN.

Selain itu katanya, PN juga menuntut tiga daripada lima kuota ahli dewan undangan negeri (ADUN) lantikan diberikan kepada mereka.

"Saya kira-kira, saya lihat nampak (mereka) bukan nak berbincang, tapi dah menetap dan menentu (keputusan) sebelum rundingan dimulakan.

“Jadi saya cakap, PH sedia bekerjasama dengan kami (BN Pahang) tanpa syarat,” katanya.

Pada perjumpaan kali kedua, katanya, PN masih tetap dengan pendiran untuk mendapatkan jawatan speaker dan exco.

Wan Rosdy turut mendedahkan sikap segelintir pimpinan PN yang meminta pejabat jawatankuasa kemajuan dan kemakmuran kampung (JKKK) dan kunci balai raya diserahkan ketika proses rundingan sedang berjalan.

"Jadi kami membayangkan, maknanya kestabilan dan kemakmuran adalah perkara kedua bagi mereka," katanya.

Kata Wan Rosdy, keputusan dibuat BN untuk bersama PH bukan keputusan dirinya seorang tetapi dibincangkan bersama Adun lain dan di bawa ke mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.


  PN tolak kerajaan perpaduan  

Dalam pada itu Wan Rosdy turut menyindir Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah yang mempertikaikan pendirian BN memilih PH untuk membentuk kerajaan negeri.

"Orang yang mempertikaikan kenapa kita pilih PH dan bukan PN, dia itu dah berapa kali lompat dah.

"Saya tak nak cakap tapi kita tengoklah, daripada BN ke PKR, darripada PKR ke Bersatu dan tak mustahil kalau ditawarkan (jawatan) selepas ini, lompat lagi," katanya.

Wan Rosdy juga mendedahkan BN dan PH Pahang cuba membentuk model kerajaan perpaduan di negeri ini dengan menawarkan satu kerusi Exco kepada PN. Namun katanya tawaran itu ditolak PN.

"Kita dah boleh tubuhkan kerajaan ketika itu, tapi kerana kita berjiwa besar, kita tawarkan juga satu kerusi (jawatan) Exco kepada mereka (PN Pahang) bagi tujuan perpaduan, tapi mereka yang tolak dan kemudian salahkan saya," katanya.

Dia berharap penjelasan mengenai kronologi rundingan bagi membentuk kerajaan Pahang antara BN, PH dan PN itu dapat difahami rakyat.

Ini katanya penting supaya tidak berlaku salah anggap terhadap keputusan BN memilih bersama PH untuk menjadi kerajaan.

"Saya memang tunggu peluang ini, untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku dan kita buat keputusan dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan kestabilan kerajaan negeri di Pahang," katanya.


Malaysiakini 

Post a Comment

0 Comments