Ticker

6/recent/ticker-posts

Menyanyi Lagu Negaraku Sambil Menaikkan Bendera Israel ?



Polis telah membuka kertas siasatan berhubung klip video tular yang menunjukkan beberapa individu menyanyikan lagu Negaraku sambil menaikkan bendera Malaysia dan Israel.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ku Mashriman Ku Mahmood, berkata ia dilakukan susulan satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki tempatan pada 29 Nov lalu yang melihat rakaman tular di WhatsApp itu.

Katanya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan bersama agensi pelancongan.

“Kita menerima satu laporan polis daripada lelaki warga tempatan yang menyatakan melihat rakaman video berdurasi 47 saat di dalam kumpulan sembang Whatsapp, di mana lagu Negaraku dinyanyikan beberapa individu dan bendera Malaysia dikibarkan bersama dengan bendera Israel.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian di dalam video tersebut berlaku pada September lalu ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke sebuah negara bersama dengan agensi pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988.

Justeru, Ku Mashriman meminta orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan dan menyebarkan sebarang bahan di mana-mana platform.

Tegasnya, ia bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis serta menggugat ketenteraman awam.


Post a Comment

0 Comments