Zahid Mulakan Serangan, Apakah KJ Mangsa Pertama Terkena Serangan?



Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) Umno esok akan menentukan nasib Khairy Jamaluddin dan ahli Umno lain yang didakwa mensabotaj parti pada pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu memberitahu pemberita petang ini bahawa ia akan menjadi sebahagian daripada operasi pembersihan parti, seperti yang telah dijanjikan semasa Perhimpunan Agung (PAU) parti itu dua minggu lalu.

"Untuk dia (Khairy) secara individu tak penting. Saya kata pada PAU baru-baru ini kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran.

"Termasuk mereka yang sabotaj parti dalam PRU lalu, termasuk yang menembak kaki sendiri masa PRU diadakan," katanya ketika sidang media di Putrajaya.

Zahid menjawab soalan sama ada MKT Umno dalam mesyuarat yang dijadualkan esok akan membincangkan tindakan tatatertib terhadap Khairy, yang merupakan pengkritik keras presiden Umno itu.

Khairy, yang merupakan bekas ketua Pemuda Umno, baru-baru ini memuji ahli Umno yang telah memfailkan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan teratas parti dalam pemilihan akan datang.

Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan berapa ramai ahli parti yang dikenal pasti sebagai pensabotaj setakat ini.

"Bila saya kata kita buat secara besar-besaran, maknanya ada orang lain, insya-Allah. Jadi, siapa yang rasa dia buat salah, atau belum rasa apa-apa, esok dia rasa.

"Tetapi saya tidak boleh beritahu anda jumlahnya sekarang. Ia tidak akan menjadi satu strategi jika saya mendedahkannya kepada media. Saya perlu embargo semua maklumat sehingga tiba masanya (untuk saya umumkan)," tambahnya.

 Instagram KJ 

Dalam maklum balas segera, Khairy menyiarkan kenyataan di Instagram Story mengatakan bahawa mempunyai perbezaan pendapat dengan kepimpinan parti tidak sama dengan tidak setia kepada parti.

“Mempunyai perbezaan pandangan dengan kepimpinan parti dan menyeru semua menghormati proses demokrasi tidak bermakna tidak setia kepada parti.

"Umno milik semua ahli parti. Bukan Majlis Tertinggi saja," tulisnya.


 KJ Tolak Pelawaan Join PN 

Terdahulu, Khairy juga mengulangi kesetiaannya kepada Umno dan menolak tawaran Perikatan Nasional (PN) dan PAS untuk menyertai parti berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada PAS atas tawaran menyertai PN tetapi saya masih setia sebagai ahli Umno,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Ini berlaku selepas Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata PN dan PAS bersedia menerima mana-mana pemimpin politik atau individu dalam kumpulan mereka jika mereka berkongsi agenda yang sama untuk rakyat.

Ahmad Samsuri berkata demikian apabila ditanya sama ada gabungan itu akan menerima Khairy jika dia disingkir daripada Umno.

Sementara itu, semasa sidang media itu, Zahid turut diminta mengulas kenyataan Dewan Ulama PAS yang mendakwa dia telah memutar belit kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini mengenai "sedekah" semasa pilihan raya.

Zahid yang merupakan timbalan perdana menteri memberikan respons menyindir, dengan berkata: "Ya... Kami tidak ada wang untuk sedekah. Jadi tolong agihkan sedekah menggunakan wang yang datang dari sumber yang tidak diketahui."

Tambahnya lagi, ketua pesuruhjaya SPRM telah memberikan kenyataan yang jelas bahawa rasuah tetap rasuah, tanpa mengira apa jua nama yang diberikan untuk menggambarkan perbuatan sedemikian.

"Kenyataan ketua pesuruhjaya SPRM itu perlu dijadikan panduan: apa sahaja bentuk kebajikan yang diberikan semasa kempen pilihan raya, dan apa jua istilah yang digunakan untuk menggambarkan perbuatan itu, ia tetap rasuah politik. Walaupun anda menyebutnya sebagai sedekah.

"Ini bukan memutar belit fakta. Ini daripada kenyataan rasmi bertulis ketua pesuruhjaya SPRM," katanya kepada pemberita.

Post a Comment

1 Comments

  1. KJ sesuai masuk pas tapi dulu dia pernah tolak idea kerjasama dengan pas.
    Paling sesuai dia kerja dengan parti mahiadin. Lagipun dia pernah memuji secara terbuka akan kehebatan mahiadin.
    Dalam parti mahiadin rasanya kepoyoan dia mungkin lebih terserlah.

    ReplyDelete