Pencerobohan penjajah Israel ke atas Gaza memasuki hari ke-45 di tengah-tengah pertempuran berterusan antara pasukan IOF dengan pejuang Palestin di utara Gaza.
Peta pencerobohan yang dipantau oleh akaun "War Mapper" bagi kawasan Semenanjung Gaza telah mendedahkan perkembangan di Semenanjung.
Di timur laut Gaza, penjajah Israel telah memasuki kawasan di bandar Beit Hanoun. Jaraknya kurang dari 2 km dan kebanyakannya adalah kawasan pertanian.
Ini selari dengan pengeboman berterusan pesawat penjajah Israel di sekitar Hospital Indonesia dan Hospital Al Awda berhampiran kawasan Jabalia.
Klip video yang diterbitkan oleh Briged Al-Qassam pada 17 Oktober lalu turut mendokumentasikan pertempuran pejuang Palestin dengan IOF di Beit Hanoun. Ini mengesahkan kawasan tersebut masih dalam kawasan zon perang dan penjajah Israel sama sekali tidak mengawalnya.
Adapun Gaza barat, pasukan IOF telah berjaya menembusi kawasan Karama, kemudian meneruskan perjalanan ke kawasan kejiranan Al-Nasr, Al-Rimal, dan Al-Shati Camp, sehingga mereka sampai ke kawasan kejiranan selatan kota dan mengambil alih kawalan Kompleks Perubatan Al-Shifa.
Kawasan yang diceroboh IOF berada kira-kira 7 km tidak termasuk kawasan pertanian dan kosong di barat laut Semenanjung Gaza di kawasan Al-Atatra dan Karama.
Di Bandar Gaza, penjajah Israel berjaya menembusi ke arah Jalan Al-Rashid dari barat bandar menuju ke pusat bandar dan sampai ke Hospital Baptist yang merupakan hospital terakhir yang beroperasi di utara Semenanjung Gaza.
Di selatan Kota Gaza, kenderaan IOF masih ditempatkan di kawasan kejiranan Al-Zaytoun dan Juhr Al-Dik, yang membahagi Bandar Gaza dan utaranya dari tengah dan selatan melalui Jalan Salahuddin.
Bagi Semenanjung Gaza selatan, pejuang Palestin meneruskan pertempuran dengan IOF yang menyerang dari paksi Khan Yunis.
Pada 18 November, Briged Al-Qassam mengebom penjajah Israel di timur Khan Yunis dengan peluru mortar dan Briged Al-Quds juga mengumumkan pengeboman penjajah Israel di kawasan Al-Sanati, timur Khan Yunis, selatan Gaza.
Walaupun IOF telah berjaya mara di beberapa kawasan tetapi mereka masih menghadapi tentangan yang hebat di semua kawasan di Semenanjung Gaza.
Sumber : Eekad
0 Comments