SKMM Akan Tutup Akaun Sosial Media Kanak-Kanak - Setuju Atau Tidak?



Kawalan akaun media sosial untuk kanak-kanak bawah 13 tahun. Satu tindakan yang baik, selain daripada mengawal privasi kanak-kanak malaysia daripada di exploitasi. 

Mungkin boleh ditambah satu klausa, bagi kanak-kanak yang berkecimpung dalam dunia seni. Semestinya mereka mahu ketengahkan bakat mereka kepada umum. Pendaftaran boleh dibuat oleh ibubapa melaui permohonan melalui SKMM dan mendapat Tick khas menandakan ia mendapat kelulusan khas daripada SKMM. 

Untuk menyekat secara keseluruhan, rasanya tidak adil bagi kanak-kanak yang IQ EQ mereka tinggi dan mahu ketengahkan bakat mereka secara lebih meluas. 


'Ibu bapa perlu pastikan anak bawah 13 tahun tiada media sosial'

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ini kerana SKMM mendapati bahawa kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan perpaduan berkata kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan tersebut memiliki akaun media sosial.

“Kepada ibu bapa yang hadir pada malam ini, saya beri amaran daripada SKMM, anak-anak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain.

“Sekiranya ada (anak-anak bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial), ibu bapa tolong maklum kepada saya, SKMM...kita akan akan tutup akaun tersebut,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Lembah Pantai 2024 di IWK Eco Park@Lembah Pantai di Kuala Lumpur malam tadi.

Ketika ditemui pemberita, Fahmi menjelaskan bahawa isu mengenai pemilikan akaun media sosial ketika ini adalah pihak media sosial menyerahkan sepenuhnya pendaftaran pembukaan akaun kepada pengguna tanpa kaedah pembuktian yang boleh memastikan usia mereka melebihi syarat yang dibenarkan.

Dia berkata susulan itu, pihaknya telah mengadakan siri pertemuan dengan pihak berkaitan seperti Meta yang menguruskan aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp serta pihak Telegram untuk mengemukakan perancangan mereka bagi menangani isu pemilikan akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.

“Kita lihat ada beberapa perkara daripada pihak media sosial yang perlu dimaklumkan kepada kita dahulu. Harapan saya menjelang awal Mei ini, akan ada pengumuman mengenai perbincangan dengan semua platform media sosial khususnya berhubung keselamatan dalam talian yang berkait dengan kanak kanak,” katanya.

Sementara itu, Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai menyeru orang ramai untuk mengambil peluang mengukuhkan silaturrahim, persahabatan serta perpaduan antara satu sama lain.

“Kita sebagai negara Malaysia memiliki kekuatan berdasarkan kemajmukan, kepelbagaian dan perpaduan malah tiada negara lain seperti Malaysia yang mempunyai komposisi kaum dan latar belakang seperti negara kita,” katanya.

-Bernama

Post a Comment

0 Comments