Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyahut keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap malam tadi sebagai tekad untuk bermuhasabah diri.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata meskipun kalah, parti itu akan terus berusaha melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik.

“Kekalahan ini diambil dengan penuh tanggungjawab sebagai isyarat untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh terlalu selesa serta kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti.

“Hakikat ini kita sahut sebagai cabaran lanjutan dalam diari perjuangan hidup,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Perpaduan di Bilik Gerakan Utama di Nibong Tebal malam ini.