Di sebalik perbelanjaan RM3.915 bilion untuk projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL)River di Lembah Kelang sejak 2011, namun kemungkinan projek itu tidak boleh disiapkan tahun ini dan ia juga dikatakan tidak mencapai objektifnya, kata Jabatan Ketua Audit Negara.

Juruaudit mendapati pelbagai infrastruktur projek berkenaan rosak, manakala kualiti air Sungai Klang masih tidak bersih.

“Semua objektif River of Life masih belum berjaya dicapai terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai Kelas IIB (yang sesuai disentuh bagi tujuan rekreasi),” kata Ketua Audit Negara, Wan Soraya Wan Mohd Rodzi dalam laporan yang dilancarkan pagi ini.

Projek River of Life dilancarkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, dengan dana kira-kira RM4.4 bilion. Ia adalah untuk pembangunan semula sungai-sungai sekitar lembah Klang .

Dana itu juga bertujuan membersihkan kualiti air sungai dan alirannya kira-kira sepanjang 100km.

Menurut laporan Jabatan Audit, setakat Julai 2023, sebanyak 12 projek RoL masih dalam peringkat prapelaksanaan, lapan lagi dalam pelaksanaan manakala kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.