Lebih 200 pekerja asing di Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd yang menjalani kehidupan selama tujuh bulan tanpa gaji berharap mendapat kerja baharu sebelum bulan puasa bermula Februari tahun depan.
Kawaguchi Manufacturing Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada tahun 1992, berpusat di Pelabuhan Klang, Malaysia. Syarikat ini mengkhusus dalam pembuatan produk plastik, terutamanya untuk industri elektronik. Kawaguchi membekalkan komponen plastik kepada pemain utama seperti Sony, Panasonic, dan Daikin. Baru-baru ini, terdapat laporan mengenai kelewatan pembayaran gaji dan tuduhan pelanggaran hak asasi manusia di syarikat ini, yang telah menarik perhatian gergasi elektronik tersebut. Selain itu, pekerja di Kawaguchi dilaporkan menuntut gaji tertunggak.
Menganggur dan tiada wang, masa depan mereka masih kelam walaupun proses mediasi baru-baru ini di mana Kawaguchi bersetuju menyelesaikan tunggakan gaji tahun depan, bermula RM1,000 pada 15 Jan.
Seorang pekerja dikenali Farouk, 37, berkata tidak dapat tidur malam, kesan daripada pengalaman lalu. Mereka takut tidak dibayar langsung.
“Dan situasi kami akan lebih memburuk jika pejabat buruh gagal mendapatkan kami kerja baharu sebelum bulan puasa,” katanya.
Farouk berkata, ketika ini mereka bergantung hidup dengan makanan ditaja Daikin Industries Ltd.
Namun, derma USD12,000 oleh syarikat pembuatan pendingin hawa hanya mampu menampung pembelian makanan hingga 29 Dis, katanya.
Seorang lagi pekerja, Mohosin, berkata RM1,000 yang dijangka diterima bulan depan akan digunakan bagi menyelesaikan hutang kedai runcit, berdekatan hostel mereka.
Sejak tujuh bulan lalu, Mohosin berkata dia dan pekerja asing lain berhutang membeli makanan dan keperluan dari kedai runcit itu, dan berjanji membayar semula bulan ini, kerana percaya gaji mereka akan diterima pada masa itu.
Pekerja asing menyatakan penghargaan kepada Daikin Industries Ltd kerana bantuan kewangan yang membolehkan mereka membeli makanan.
Katanya, memandangkan tiada wang diterima, pekedai tidak lagi membenarkan mereka berhutang.
Beberapa pekerja terbabit memberitahu FMT mereka berhutang dengan pekedai itu sekurang-kurangnya RM500.
Mohosin berkata, apabila hutang dengan kedai runcit itu dilangsaikan, mereka boleh mengirim wang kepada keluarga di Bangladesh.
“Keluarga kami terpaksa berhutang untuk hidup. Mudah-mudahan, apabila kami mendapat kerja baharu, kami mampu menyelesaikan pinjaman berkenaan,” kata lelaki berusia 38 tahun itu.
Seorang lagi pekerja dikenali Nayem, 23, memajak rumah keluarga bagi mendapatkan pinjaman RM20,000 untuk bekerja di Malaysia tahun lalu, dengan sebahagian besar jumlah itu diguna membayar ejen di sini.
Masa semakin suntuk baginya memandangkan tidak mampu membayar balik pinjaman dan membantu keluarganya.
“Saya anak sulung daripada lima beradik dan mereka semua bergantung kepada saya untuk menyara mereka. Kebiasaannya, saya akan menghantar keseluruhan gaji dan hidup dengan bayaran kerja lebih masa.”
Nayem kini bimbang bank akan menyita kediamannya di Bangladesh dan mengusir ahli keluarga.
“Setiap hari, saya menunggu ada berita baik: kami akan mendapat kerja baharu, jadi saya boleh bayar hutang dan bantu keluarga.”
Khamis lalu, dilaporkan Kawaguchi setuju membayar tunggakan gaji tujuh bulan kepada 251 pekerja asing.
Syarikat itu mencapai keputusan berkenaan lima hari selepas kumpulan pekerja mengadakan protes aman di pekarangan kilang di Pelabuhan Klang bagi menuntut gaji.
Mereka mengadu gaji tidak dibayar berjumlah keseluruhan lebih RM3 juta sejak Mei.
0 Comments