Sekumpulan polis bersama pegawai MCMC menghabiskan lebih lima jam semalam di bengkel pemeriksaan kenderaan Scrut Auto di Kuala Lumpur untuk melaksanakan waran geledah terhadap pengasasnya, yang juga pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad

Menurut peguam Aliff, Haziq Aizuddin Subhi, mereka tiba di premis berkenaan kira-kira 5 petang dan membawa anak guamnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pudu jam 11 malam.

“Dia (Aliff) menyerahkan telefon bimbitnya sekitar jam 5 petang. Mereka mahu mengakses akaun Facebook miliknya, tetapi berlaku ‘masalah log masuk’ yang menyebabkan situasi itu berlarutan hampir ke tengah malam,” kata Haziq kepada Malaysiakini.

Pada 25 April lalu, Aliff dipanggil untuk disoal siasat di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya, berhubung tawarannya untuk menjalankan semakan latar belakang secara mendalam terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, melalui satu sistem dikenali sebagai “Scrut Analytica”.

Scrut Analytica pada asalnya digunakan untuk membantu pembeli kereta terpakai menyemak latar belakang pemilik kenderaan terdahulu, namun Aliff turut menggunakan sistem itu sebagai alat untuk menyemak profil awam ahli-ahli politik terkenal