Pemuda PKR merayu agar Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mempertimbangkan semula keputusannya untuk tidak merasmikan Kongres Nasional sayap Pemuda dan Wanita PKR yang dijadualkan pada 22 Mei ini.
Menurut Ketua Pemuda PKR, Adam Adli, mereka sudah menerima salinan surat Rafizi kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang menyatakan hasrat untuk tidak menghadiri majlis tersebut, walaupun perkara itu sudah dipersetujui sebelum ini.
Adam berkata, Pemuda PKR masih berharap Rafizi akan ubah fikiran kerana kehadirannya sebagai perasmi adalah satu tradisi penting dalam kongres.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata keputusan rasmi sama ada Rafizi akan hadir atau tidak masih belum disahkan.
Sebelum ini, Rafizi dilaporkan menghantar surat kepada Anwar untuk memaklumkan bahawa beliau tidak akan memenuhi jemputan daripada sayap parti. Keputusan ini dikaitkan dengan perkembangan politik dalam parti menjelang pemilihan PKR pada 23 Mei.
Terdapat laporan bahawa Rafizi tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa berat sebelah, khususnya terhadap pencabarnya, Nurul Izzah Anwar. Beliau juga dikatakan kecewa apabila tidak dijemput ke pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah, yang menyaksikan majoriti cabang di negeri itu menyokong Nurul Izzah dan Amirudin Shari.
Dalam satu kenyataan, Rafizi mendakwa pertandingan jawatan nombor dua parti kali ini tidak berlangsung secara adil, malah memberi bayangan beliau mungkin letak jawatan sebagai Menteri Ekonomi jika kalah dalam pemilihan nanti.
Petikan Asal : Mkini
0 Comments