Anak Zahid Marah Panggil Anak Zahid... Gimana Sih


Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menzahirkan rasa kurang senangnya terhadap kecenderungan segelintir media yang gemar menggunakan gelaran “Anak Zahid” dalam tajuk dan laporan melibatkan dirinya.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut seolah-olah menghakis identiti peribadinya sebagai seorang individu yang berdikari dan mempunyai prinsip tersendiri.

“Saya sedar siapa Abah saya, dan saya bangga menjadi anak kepada Ahmad Zahid bin Hamidi. Namun pada masa yang sama, saya juga seorang individu yang punya pendapat, prinsip dan identiti sendiri,” katanya.

Menurut beliau, setiap insan wajar dikenali dan dihormati atas nama serta usaha mereka sendiri, bukan hanya melalui kaitan keluarga, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan sumbangan seseorang itu dipandang sepi.

“Apabila media terus-menerus menggugurkan nama saya dan menggantikannya hanya dengan label ‘anak Zahid’, ia secara tidak langsung menghilangkan pengiktirafan terhadap kerjaya, pandangan dan sumbangan saya sebagai individu,” tegasnya.

Nurulhidayah juga mengingatkan media agar berpegang kepada etika kewartawanan dengan melaporkan secara adil dan tepat tanpa menenggelamkan identiti seseorang hanya kerana latar belakang keluarganya.

“Saya tidak pernah minta untuk dipandang tinggi. Cuma gunakanlah nama saya, Nurulhidayah Ahmad Zahid sebagaimana media menyebut individu lain dalam liputan berkaitan politik, sosial atau kerja masyarakat,” tambah beliau.

Kenyataan beliau mendapat perhatian ramai pihak, terutama dalam kalangan pengguna media sosial yang bersetuju bahawa setiap individu berhak mendapat pengiktirafan atas nama dan sumbangannya sendiri tanpa prejudis berdasarkan hubungan kekeluargaan.

Sumber: MalaysiaGazette, Facebook Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid

Post a Comment

0 Comments