Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendedahkan bahawa beliau telah menerima satu surat tuntutan “cease and desist” daripada firma guaman Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Datuk Wira Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Surat bertarikh 22 Ogos 2025 itu menuntut agar Rafizi menghentikan kenyataan serta membuat permohonan maaf berhubung satu kenyataan beliau sebelum ini. Dalam kenyataan itu, Rafizi mengesahkan bahawa pemberi maklumat yang dibangkitkan mempunyai kaitan dengan urus niaga syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.
Namun, Rafizi menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah penyataan fakta dan beliau bersedia mempertahankannya di mahkamah.
Menurut Rafizi, perkara itu telah pun diserahkan kepada peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli daripada firma guaman Gan, Ho & Razlan Hadri, untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menambah bahawa sekiranya Farhash memfailkan saman di mahkamah, ia akan menjadi kes berkepentingan awam. Kes tersebut, katanya, akan membuka ruang kepada peguam-peguam beliau untuk mengemukakan soalan-soalan yang selama ini timbul dalam masyarakat berkaitan individu berkenaan.
Rafizi dilihat menyambut baik kemungkinan saman tersebut difailkan kerana ia akan memberikan peluang untuk fakta-fakta berkaitan didedahkan secara terbuka di mahkamah.
Sumber : XRafizi
0 Comments