Gelaran “pencuri” akhirnya makan tuan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini terpaksa menelan pahit apabila Mahkamah Tinggi mengisytiharkan beliau bersalah memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee menegaskan, kenyataan Saifuddin berkaitan dakwaan kecurian unsur nadir bumi (REE) serta penyelewengan dana MARRIS jelas memberi maksud jenayah dan salah urus kewangan kepada plaintif. Akibatnya, Saifuddin diperintah membayar RM600,000 ganti rugi am + RM70,000 kos kepada Sanusi.
Lebih pedas, mahkamah turut mengarahkan Saifuddin membuat permohonan maaf terbuka dalam akhbar bahasa Melayu dan Inggeris – dengan teks yang perlu lulus ditapis oleh Sanusi sendiri sebelum diterbitkan. Bayangkan seorang Menteri Dalam Negeri terpaksa tunduk, menulis surat maaf yang diluluskan musuh politiknya.
Sanusi sebelum ini menyaman Saifuddin selepas ucapan beliau dalam dua majlis berasingan pada Julai 2023 — di IPK Pulau Pinang dan dalam ceramah politik — yang menuduh Sanusi “mencuri” REE dan menyalahgunakan dana MARRIS.
Kini, mahkamah bukan sahaja mengesahkan tuduhan itu fitnah, malah melarang Saifuddin atau mana-mana ejennya mengulang semula dakwaan sama.
Ironinya, seorang menteri yang sepatutnya menjaga undang-undang, akhirnya sendiri disabitkan menyebar fitnah. Persoalannya: bagaimana rakyat mahu yakin dengan integriti kerajaan bila lidah seorang Menteri Dalam Negeri boleh jadi lebih tajam daripada pedang, tapi akhirnya memakan diri sendiri?

0 Comments