‘Cukup-Cukuplah’ – Sultan Selangor Arah Pindah Semua Ladang Babi

Sultan Selangor menitahkan supaya semua ladang babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat ditutup dan dipindahkan ke Bukit Tagar secara berperingkat.

Titah itu dibuat selepas baginda berpuas hati dengan taklimat yang dibentangkan oleh kerajaan negeri berhubung isu penternakan babi di Selangor.

Menurut Istana Selangor, tiada lagi operasi penternakan babi dibenarkan di Tanjong Sepat. Ladang sedia ada perlu dihentikan secara beransur-ansur sebelum dipindahkan sepenuhnya ke lokasi baharu.

Kerajaan negeri turut mengesahkan bahawa lesen ladang babi di Kuala Langat dan Sepang tidak akan diperbaharui. Langkah ini diambil bagi menangani masalah pencemaran serta mengawal penularan wabak demam babi Afrika (ASF).

Sultan Selangor juga menitahkan supaya kajian dan bancian menyeluruh dijalankan bagi menentukan keperluan sebenar daging babi untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor, dan menegaskan bahawa tiada hasil penternakan dibenarkan untuk tujuan eksport.

Baginda turut menegaskan bahawa tiada peruntukan kewangan kerajaan negeri akan digunakan untuk penternakan babi, termasuk di Bukit Tagar, dan semua operasi mesti dijalankan tanpa melibatkan wang awam.
Baginda berharap semua pihak mematuhi ketetapan ini demi kesejahteraan rakyat, alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.



Post a Comment

0 Comments