Letak Jawatan Exco Melaka Tidak Cukup, Kata Tuan Ibrahim: “Apa Sangat Ada di Melaka”

PAS menyambut baik keputusan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh, meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka, namun berpendapat langkah itu masih belum memadai dan tidak memberi kesan besar sekiranya tiada tindakan susulan di peringkat nasional.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan tersebut sepatutnya diterjemahkan di peringkat pusat bagi membuktikan komitmen sebenar UMNO dalam menangani isu-isu yang menimbulkan polemik, khususnya melibatkan DAP.

“Sepatutnya diterjemah di peringkat pusat, sebab apa sangatlah ada di Melaka. Kalau Akmal boleh tunjukkan komitmen menentang tindakan melampau, khususnya DAP, sepatutnya ia diterima dan disokong di peringkat pusat,” katanya dalam satu perkongsian video di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Akmal sebagai Exco Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan Melaka, yang diumumkan semasa Perhimpunan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur semalam. Akmal sebelum ini menegaskan keputusan itu diambil bagi membolehkannya “menentang DAP habis-habisan”, dan dijadual berkuat kuasa minggu hadapan, tertakluk kepada penerimaan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata sekiranya UMNO benar-benar memperjuangkan agama dan bangsa, tindakan bantahan tidak wajar terhad di peringkat negeri sahaja. Sebaliknya, ia perlu dizahirkan secara menyeluruh di peringkat persekutuan dan negeri-negeri lain seperti Perak, Pahang dan Selangor.

“Saya ucap tahniah kepada Akmal atas pendiriannya, tetapi tindakan itu tidak akan memberi impak besar jika tidak didukung dengan langkah susulan yang jelas. Kalau sekadar letak jawatan sebagai exco, apa impaknya kepada UMNO?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa walaupun keputusan tersebut adalah hak peribadi Akmal, ia perlu disertai tindakan kolektif parti bagi menunjukkan komitmen sebenar terhadap prinsip yang diperjuangkan oleh Pemuda UMNO.

Sumber: Malaysiakini





Post a Comment

0 Comments