Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya tampil mempertahankan diri selepas laporan media antarabangsa Bloomberg mencetuskan gelombang persoalan panas berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan isu pegangan saham.
Dalam kenyataan rasmi bertarikh 10 Februari 2026, SPRM menyifatkan laporan tersebut sebagai mengelirukan, tidak berasas dan berunsur tohmahan yang bukan sahaja mencalarkan reputasi individu, malah cuba menggugat keyakinan rakyat terhadap institusi yang sepatutnya menjadi benteng terakhir melawan rasuah.
Menurut SPRM, laporan Bloomberg itu memberi gambaran seolah-olah berlaku kegagalan pengisytiharan harta oleh Ketua Pesuruhjaya, sedangkan hakikatnya pengisytiharan telah dibuat mengikut prosedur pentadbiran perkhidmatan awam melalui saluran rasmi, termasuk Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). SPRM menegaskan segala pengisytiharan melibatkan sumber pendapatan, pemerolehan dan pelupusan aset termasuk saham telah dipatuhi sepenuhnya, sekaligus menafikan naratif “kantoi” yang cuba dibina oleh pihak luar.
Bloomberg dalam laporannya mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM tersenarai sebagai pemegang jutaan unit saham dalam sebuah syarikat tersenarai, dengan nilai dianggarkan ratusan ribu ringgit, lalu menimbulkan persoalan sama ada pegangan tersebut melanggar had pemilikan saham oleh penjawat awam.Laporan itu juga mempersoalkan ketelusan pengisytiharan aset dan sama ada maklumat tersebut boleh disemak secara terbuka oleh orang awam, seolah-olah cuba meletakkan SPRM di kandang tertuduh sebelum sebarang fakta disahkan.
Namun persoalannya, sejak bila media luar menjadi “hakim moral” kepada sistem pentadbiran negara, sedangkan mekanisme pengisytiharan harta penjawat awam Malaysia telah lama wujud dan tertakluk kepada kawalan dalaman kerajaan? SPRM melihat cubaan membina persepsi gagal isytihar harta ini bukan sahaja longgar dari sudut fakta, malah berbahaya kerana ia mencetuskan persepsi negatif terhadap keseluruhan ekosistem integriti dan tadbir urus awam.
Dalam nada yang tegas, SPRM mengingatkan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang usaha untuk menjatuhkan kredibiliti Suruhanjaya melalui pelaporan yang separuh masak, sensasi murahan dan sarat dengan andaian. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan institusi penguatkuasaan yang sedang berdepan tekanan awam tinggi dalam memerangi rasuah tanpa memilih bulu.
Isu ini akhirnya membuka persoalan lebih besar, adakah ini soal integriti sebenar atau sekadar permainan persepsi yang sengaja dihidangkan untuk mencetuskan kekeliruan? Dalam dunia hari ini, satu laporan berat sebelah sudah cukup untuk mengheret kepercayaan awam ke tepi gaung. Dan dalam kes SPRM ini, rakyat kini sedang menilai — siapa yang benar-benar bercakap atas dasar fakta, dan siapa pula yang sekadar menyalakan api tanpa memikirkan kesannya.
0 Comments