Keangkuhan kuasa akhirnya rebah di hadapan undang-undang. Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, hari ini diperintah dipenjara enam tahun serta didenda RM15.45 juta selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara membatalkan pembebasannya dan mensabitkan beliau atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta.
Kes ini bukan kes picisan. Ia berkait secara langsung dengan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, satu transaksi bernilai besar yang berlaku 12 tahun lalu, ketika FELDA agensi yang kononnya diwujudkan untuk membela nasib peneroka diperalat demi kepentingan peribadi golongan atasan.
Keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan bahawa rayuan akhir pihak pendakwaan adalah berasas. Mahkamah bukan sahaja menolak naratif “tidak bersalah”, malah mengarahkan Isa Samad menjalani hukuman penjara serta-merta, satu mesej jelas bahawa kekebalan politik bukan lagi perisai mutlak.
Namun persoalan lebih besar timbul: Mengapa mengambil masa lebih sedekad untuk keadilan ditegakkan?
Dalam tempoh itu, nama besar terus dihormati, jawatan terus dipegang, dan pengaruh terus berlegar — sementara kerosakan ke atas institusi awam sudah lama berlaku. Rasuah RM3.09 juta mungkin angka kecil bagi elit, tetapi kesannya kepada keyakinan rakyat terhadap FELDA dan pentadbiran negara adalah sangat besar.
Lebih memedihkan, Isa Samad bukan sekadar tokoh biasa. Beliau pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, memegang jawatan strategik, dan diberi amanah mengurus harta serta masa depan ratusan ribu peneroka. Hari ini, sejarah mencatatkan bagaimana amanah itu berakhir di balik tirai besi.
Kes ini sepatutnya menjadi tamparan keras kepada budaya “orang besar kebal undang-undang”. Jika Mahkamah Persekutuan mampu bersuara tegas, persoalannya kini beralih kepada pihak eksekutif dan institusi lain:
berapa ramai lagi yang masih bebas, walaupun bau rasuahnya sudah lama menusuk hidung rakyat?
Hari ini Isa Samad ke penjara.
Esok, rakyat menunggu — siapa pula seterusnya?
Sumber : AstroAwani


0 Comments