Ramai Tak Habiskan Minyak? Kuota BUDI95 Mungkin Dikurangkan Kepada 150liter!

Kerajaan kini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan lagi kuota subsidi petrol BUDI95 daripada 200 liter kepada hanya 150 liter sebulan berdasarkan trend penggunaan semasa rakyat Malaysia. Perkara itu didedahkan menerusi sidang Affin Market Outlook 2026 apabila Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan majoriti pengguna sebenarnya tidak menggunakan kuota penuh yang diberikan ketika ini.

Menurut data penggunaan yang dibentangkan, sekitar 80% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan, manakala 60% daripadanya menggunakan kurang daripada 150 liter. Statistik ini menjadi antara faktor utama kerajaan menilai semula mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan perbelanjaan subsidi negara lebih terkawal dan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Langkah ini bagaimanapun masih berada di peringkat pertimbangan dan belum dimuktamadkan sepenuhnya. Kerajaan dijangka akan terus memantau trend penggunaan domestik serta keadaan harga minyak mentah global sebelum membuat keputusan rasmi mengenai pengurangan kuota BUDI95 tersebut.

Sekiranya pengurangan kuota ini dilaksanakan, ia dijangka memberi kesan kepada pengguna yang bergantung kepada penggunaan petrol tinggi setiap bulan termasuk mereka yang bekerja jauh, menjalankan perkhidmatan penghantaran atau tinggal di kawasan luar bandar. Pada masa sama, pengguna dengan penggunaan sederhana mungkin tidak terlalu terkesan kerana purata penggunaan mereka masih berada bawah paras 150 liter sebulan.

Isu subsidi petrol RON95 terus menjadi perhatian ramai kerana ia berkait rapat dengan kos sara hidup rakyat. Sebarang perubahan terhadap kuota subsidi dijangka akan mencetuskan pelbagai reaksi terutama ketika harga barang dan kos pengangkutan masih menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia ketika ini.

Sumber: Rnggt



Post a Comment

0 Comments