Thailand dijangka melaksanakan caj ketibaan baharu melebihi 300 baht (sekitar RM39) kepada pelancong asing yang memasuki negara itu melalui udara, menurut Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Surasak Phancharoenworakul.
Menurut laporan, kerajaan Thailand sedang memuktamadkan mekanisme kutipan caj tersebut sebelum ia dilaksanakan secara rasmi. Hasil kutipan itu akan digunakan bagi tujuan perlindungan insurans kemalangan untuk pelancong asing serta pembangunan sektor pelancongan negara.
Cadangan caj pelancong ini sebenarnya telah dibincangkan sejak tahun 2020, namun beberapa kali ditangguhkan susulan kebimbangan terhadap kesan kepada industri pelancongan selepas pandemik Covid-19.
Selain itu, Thailand turut memperketat syarat visa pelancong dengan mengurangkan tempoh tinggal tanpa visa daripada 60 hari kepada 30 hari bagi kebanyakan negara. Langkah itu dibuat bagi membendung penyalahgunaan visa dan aktiviti haram oleh warga asing.
Walaupun terdapat caj tambahan dan syarat lebih ketat, kerajaan Thailand percaya langkah tersebut tidak akan memberi kesan besar kepada jumlah pelancong kerana purata pelawat asing hanya tinggal sekitar sembilan hari di negara itu.

0 Comments