🚨 481,119 Saman JPJ Kepada Warga Asing: Persoalannya Berapa Kerat Sudah Bayar?



Kalau dilihat pada angka 481,119 saman yang dikeluarkan JPJ kepada pemandu warga asing dari 2024 hingga September 2026 memang teramat besar. Daripada jumlah itu, 183,300 saman dikeluarkan pada 2024, 191,676 pada 2025 dan 106,143 saman bagi Januari hingga September tahun ini. Kesalahan utama termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans. - Malay Mail

Tapi ada satu persoalan yang mungkin bermain di fikiran ramai rakyat Malaysia. Daripada 481,119 saman itu, berapa kerat warga asing yang sudah bayar?

Setakat angka yang diumumkan, jumlah saman yang telah dijelaskan oleh warga asing tidak dinyatakan. Kalau saman dikeluarkan tetapi tidak dibayar, apa pula tindakan akhirnya?

Kalau undang-undang memang digunakan, kenapa masih berlaku?

JPJ sebenarnya sudah mempunyai mekanisme penguatkuasaan. Saman tertentu boleh dikompaun, manakala saman yang tidak boleh dikompaun perlu diselesaikan di mahkamah. - Jabatan Pengangkutan Jalan

JPJ juga melaporkan bahawa dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, tindakan lebih tegas diambil terhadap kes tertentu, termasuk membawa kes ke mahkamah tanpa menawarkan kompaun, selain sitaan kenderaan. Sejak 2024, sebanyak 147 lori dan tiga bas telah disita, manakala bagi kenderaan persendirian, 2,052 motosikal dan 456 kereta telah disita. Malay Mail

Jadi persoalannya bukan lagi terhadap tindakan undang-undang yang telah dikenakan. Persoalannya, sejauh mana ia benar-benar dilaksanakan sehingga memberi kesan kepada mereka yang berulang kali melakukan kesalahan?

Kalau tindakan sudah tegas, kenapa kita masih melihat warga asing memandu motosikal, kereta atau kenderaan lain tanpa lesen yang sah? Tanpa risau ditahan disaman pihak berkuasa. 

Dan kalau saman tidak dibayar, adakah mereka benar-benar dikesan semula, dibawa ke mahkamah atau dikenakan sekatan tertentu? Sekiranya ada, berapakah jumlah mereka? 

Saman sahaja atau sampai ke penghujung?

Ini yang perlu diperjelaskan dengan lebih terbuka oleh pihak berkuasa. Rakyat bukan sekadar mahu tahu berapa banyak saman telah dikeluarkan. Rakyat juga mungkin mahu tahu:

  • Berapa sudah dibayar?
  • Berapa masih tertunggak?
  • Berapa kes dibawa ke mahkamah?
  • Berapa kenderaan disita dan berapa akhirnya dilucutkan?
  • Dan yang paling penting, berapa ramai pesalah yang benar-benar dikenakan tindakan sehingga selesai?

Malah dalam Dewan Rakyat sebelum ini, isu kenderaan asing dengan saman tertunggak turut dibangkitkan. Kerajaan menjelaskan bahawa mekanisme diperlukan bagi menghalang kenderaan asing daripada meninggalkan Malaysia sebelum menyelesaikan saman tertunggak. Hansard Malaysia

Bagaimana pula dengan dokumen atau identiti bermasalah?

Kalau seseorang ditahan kerana memandu tanpa lesen, tetapi pada masa sama menggunakan dokumen perjalanan atau identiti yang meragukan, persoalannya juga ialah:

Adakah kes itu berhenti sebagai kesalahan jalan raya sahaja, atau agensi berkaitan turut menyiasat status imigresen dan dokumen individu tersebut?

Ini kerana kesalahan trafik dan kesalahan imigresen adalah perkara yang berbeza. Begitu juga pemegang kad UNHCR. Kad UNHCR bukan lesen memandu Malaysia. Jika seseorang memandu tanpa kelayakan yang diperlukan, tindakan tegas perlu dibuat oleh JPJ. Seperti contoh operasi bersepadu sebelum ini, JPJ menyita kenderaan yang dipandu warga asing termasuk pemegang kad UNHCR tanpa dokumen sah. Rakyat malaysia mahukan ia lebih diperluaskan dan mengenakan juga tindakan kepada pemilik kenderaan! - DBKL

Persoalan untuk kerajaan

Pada akhirnya, isu 481,119 saman ini bukan sekadar mengenai jumlah saman. Ia mengenai keberkesanan penguatkuasaan. Kalau saman dikeluarkan tetapi akhirnya tidak dibayar, apakah mekanisme susulan?

Kalau pesalah yang sama terus memandu, apa tindakan seterusnya?

Dan kalau tindakan memang sudah dibuat, mungkin sudah tiba masanya kerajaan mendedahkan statistik lengkap supaya rakyat boleh melihat hasil sebenar penguatkuasaan tersebut.

Sebab rakyat bukan hanya mahu melihat angka 481,119 saman. Rakyat mahu tahu apa yang berlaku selepas saman itu dikeluarkan.

Post a Comment

0 Comments

Teruskan membaca
Memuatkan lagi artikel...