RM390,000. Angka ni mungkin nampak besar, tapi ia kini menjadi antara tanda aras penting KWSP untuk simpanan persaraan.
Kerajaan menyasarkan 6 daripada 10 ahli KWSP berada di landasan untuk mencapai tahap Simpanan Asas RM390,000 pada umur 60 tahun menjelang 2030. Setakat ini, hampir 4 daripada 10 ahli sudah berada di landasan tersebut.
Tapi jangan salah faham. RM390,000 bukan bermaksud semua orang perlu ada jumlah itu sekarang. KWSP melaksanakan kenaikan secara berperingkat. Untuk 2026, tahap Simpanan Asas pada umur 60 ialah RM270,000 dan ia akan naik kepada RM300,000 pada 2027, RM330,000 pada 2028, RM360,000 pada 2029 dan RM390,000 pada 2030.
Jadi, umur 30 perlu ada berapa?
Ini antara angka Simpanan Asas baharu KWSP bagi 2026:
| Umur | Simpanan Asas |
|---|---|
| 30 tahun | RM26,300 |
| 35 tahun | RM47,000 |
| 40 tahun | RM74,000 |
| 45 tahun | RM108,000 |
| 50 tahun | RM150,000 |
| 55 tahun | RM203,000 |
| 60 tahun | RM270,000 |
Angka ini adalah tanda aras mengikut umur untuk 2026, bukannya jumlah wajib yang perlu dimasukkan sendiri setiap tahun. Ia mengambil kira perjalanan simpanan sehingga umur 60 tahun.
RM390,000 tu sebenarnya cukup ke?
Menurut rangka kerja KWSP, RM390,000 ialah tahap Simpanan Asas. Ia direka untuk menyokong pendapatan persaraan asas, dengan anggaran pengeluaran sekitar RM1,625 sebulan pada tahun pertama bagi tempoh 20 tahun.
KWSP turut menetapkan tahap lebih tinggi iaitu RM650,000 untuk Simpanan Mencukupi dan RM1.3 juta untuk Simpanan Dipertingkatkan. Jadi persoalan yang lebih penting bukan sekadar “Aku ada RM390,000 ke belum?” Tapi:
“Kalau aku bersara nanti, berapa lama simpanan aku boleh bertahan?”
Sebab itu lagi awal seseorang semak baki KWSP dan mula tambah simpanan, lagi banyak masa yang ada untuk caruman serta pertumbuhan simpanan bekerja sehingga umur persaraan.

0 Comments