Syarikat Apple nampaknya nak buat perubahan besar. CEO baharu John Ternus dilaporkan sedang menyusun semula operasi Apple dengan mengurangkan beberapa lapisan pengurusan, termasuk jawatan middle management, sambil memberi lebih tumpuan kepada pasukan kejuruteraan dan pembangunan produk.
Fokus produk baru
Ternus juga dilaporkan mahu Apple bergerak lebih pantas dalam menghasilkan produk. Antara yang menjadi perhatian ialah iPhone boleh lipat, smart glasses, AirPods dengan kamera serta peranti rumah pintar yang lebih berkait dengan AI. Apple juga dikatakan sedang mempertimbangkan jadual pelancaran yang lebih fleksibel, bukan hanya bergantung kepada acara besar musim bunga dan musim luruh.
Kalau betul-betul dilaksanakan, cara Apple keluarkan produk mungkin berubah banyak selepas era Tim Cook.
Tapi kos cip makin tinggi
Ini satu lagi masalah yang Apple kena hadap. Kekurangan cip memori seperti DRAM telah memberi tekanan kepada kos komponen. Permintaan besar daripada industri AI turut mengetatkan bekalan memori untuk peranti pengguna. Kekurangan ini dilaporkan boleh berterusan sehingga 2027.
Apple sebelum ini sudah menaikkan harga beberapa produk Mac dan iPad ketika berdepan tekanan kos memori. Jadi, idea untuk produk baru memang menarik. Tapi kos nak buat produk tu pun makin mahal.
Apple sebenarnya masih buat duit besar
Walaupun banyak cerita tentang cabaran Apple, prestasi suku tahun Jun 2026 masih kuat. Apple mencatat hasil AS$109.4 bilion, naik 16% berbanding tahun sebelumnya. Hasil iPhone pula mencecah AS$54.25 bilion, naik kira-kira 22%. Cuma tekanan kos dan persaingan AI tetap menjadi perkara yang perlu diberi perhatian.
Jadi, apa yang Ternus cuba buat?
Nampaknya Ternus mahu Apple bergerak dengan struktur yang lebih kecil, pembangunan produk yang lebih pantas dan fokus lebih besar kepada hardware. iPhone boleh lipat, smart glasses, AI, rumah pintar...
Semua ini akan menjadi antara taruhan penting Apple untuk beberapa tahun akan datang. Persoalannya sekarang, boleh tak perubahan besar ni kekalkan pertumbuhan Apple ketika kos cip pula makin tinggi?
Kita tunggu tengok.
......
Komen Anonymous dibenarkan, Mohon Komen Murni Sahaja