Pengguna Malaysia mungkin perlu bersedia menghadapi kemungkinan perubahan harga beberapa produk makanan dan minuman keluaran Fraser & Neave (F&N).
Syarikat itu tidak menolak kemungkinan melaksanakan pelarasan harga tambahan bagi produk terpilih susulan peningkatan kos bahan mentah dan komoditi. F&N menyatakan kenaikan harga bukannya untuk semua produknya.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Tarang Gupta, menjelaskan bahawa kos beberapa bahan utama semakin meningkat, termasuk:
- Gula
- Bahan mentah tenusu
- Timah untuk pembungkusan tin
- Tenaga dan kos operasi
F&N turut menyatakan bahawa pelarasan harga purata sekitar 3% hingga 4% telah dilaksanakan bagi portfolio produknya dalam tempoh 12 hingga 15 bulan lalu. Katanya, jika kos terus meningkat, kenaikan tambahan masih boleh dipertimbangkan.
F&N tidak menyenaraikan semua produk yang bakal mengalami perubahan harga. Antara kategori produknya yang boleh diperhatikan pengguna ialah:
| Kategori | Contoh produk |
|---|---|
| Susu pekat dan sejat | Susu dalam tin |
| Minuman berkarbonat | 100PLUS, F&N, Sarsi |
| Susu dan minuman tenusu | Susu UHT dan produk tenusu |
| Minuman kotak | Minuman berperisa dan jus |
Senarai ini merupakan kategori produk F&N, bukannya pengesahan bahawa semua produk tersebut akan dinaikkan harga.
Kesan yang menanti kita?
Jika pelarasan harga berlaku, kesannya mungkin dirasai oleh keluarga yang kerap membeli minuman dan produk tenusu. Peniaga kedai makan juga perlu memantau kos kerana susu pekat dan bahan minuman merupakan antara input perniagaan harian.
F&N bagaimanapun menyatakan pendekatannya bukan menaikkan harga secara menyeluruh. Syarikat mahu mengimbangi kos operasi dengan kemampuan pengguna dan jumlah jualan.
Kenaikan kos bahan mentah kini menjadi cabaran kepada industri makanan dan minuman.
Pada pandangan kami, inilah masanya untuk kita mula membeli stok keperluan secara berperingkat. Bagi mereka yang berniaga, boleh consider untuk mendapatkan stok simpanan sebelum kenaikan harga.
