Isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak kini memasuki satu perkembangan yang semakin serius apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menitahkan bahawa perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekeliruan. Titah tersebut hadir selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah pada 6 November bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran perintah berkenaan.
Lebih menarik, AGC kemudian menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mempertikaikan atau berniat menggantung perintah pengampunan tersebut. Tetapi persoalannya, jika AGC tidak mempertikaikan titah berkenaan, mengapa pelaksanaannya boleh ditangguhkan sehingga menimbulkan ketidakpastian?
Titah Agong sudah jelas, mengapa masih berlaku kekeliruan?
Menurut kenyataan Istana Negara pada 7 November, Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah telah diperkenankan selepas Lembaga Pengampunan meneliti petisyen berkenaan pada 18 September 2026. Syarat pembayaran denda RM50 juta juga telah dipenuhi.
Baginda turut menegaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya perlu dihormati. Titah Baginda menyebut bahawa tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran sehingga menyebabkan ketidakpastian berpanjangan.
Persoalannya, mengapa perkara yang dikatakan jelas itu hanya menjadi isu selepas pembayaran RM50 juta diselesaikan?
Tatatertib Pegawai AGC!
Dalam kenyataan terbaharu, AGC menjelaskan bahawa persoalan sebenar bukan mengenai kesahihan perintah pengampunan, tetapi kesan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi pada 6 November terhadap baki hukuman SRC International dan tarikh permulaan hukuman dalam kes 1MDB. AGC juga berpandangan bahawa persoalan tersebut perlu diputuskan melalui saluran mahkamah.
Namun, satu perkara tidak boleh diketepikan. Peguam Negara turut menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 September dan memberikan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika terdapat isu tafsiran atau implikasi undang-undang, mengapa perkara itu tidak diselaraskan lebih awal sebelum pembayaran denda dibuat?
Tindakan tegas tatatertib wajar dikenakan terhadap pegawai yang terlibat! Ini satu kecuaian yang merosakkan sistem perundangan negara dan dilihat seolah memalukan titah YDPA. Rakyat berhak mendapat penjelasan tentang bagaimana proses pentadbiran ini boleh sampai ke tahap pelaksanaan ditangguhkan selepas syarat pembayaran dipenuhi. Rakyat tidak mahu perkara sebegini diambil mudah seolah tindakan dan setiap keputusan tidak solid dam sentiasa ada kelompongan atas kecuaian pegawai kerajaan!
Perkara ini tidak sepatutnya berakhir dengan kenyataan media antara pihak yang berbeza pendirian. Perlu ada penelitian dalaman yang telus untuk menentukan:
- Adakah semua arahan dan syarat dalam perintah pengampunan telah diteliti sejak awal?
- Adakah AGC dan agensi berkaitan telah menyelaraskan pelaksanaan sebelum pembayaran RM50 juta dibuat?
- Siapa yang bertanggungjawab membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan?
- Adakah berlaku kecuaian pentadbiran atau kegagalan mematuhi arahan yang sah?
Jika siasatan mendapati wujud kecuaian serius, pelanggaran prosedur atau kegagalan menjalankan tanggungjawab, pegawai yang bertanggungjawab wajar dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan perkhidmatan.
Jawatan tinggi bukan alasan untuk seseorang terlepas daripada akauntabiliti. Namun, tindakan perlu dibuat berdasarkan hasil siasatan dan proses yang adil, bukan semata-mata tekanan politik.
Jangan heret institusi negara hilang keyakinan rakyat
Isu ini lebih besar daripada kedudukan seorang bekas Perdana Menteri. Ia melibatkan hubungan antara institusi Diraja, AGC, mahkamah dan pihak pentadbiran.
Jika sesuatu keputusan yang telah diperkenankan masih menimbulkan ketidakpastian dalam pelaksanaan, rakyat tentu akan mempersoalkan kecekapan sistem pentadbiran negara.
Kedaulatan undang-undang bukan sekadar disebut dalam kenyataan rasmi. Ia perlu diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten, jelas dan bertanggungjawab.
AGC juga perlu memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil tidak menimbulkan gambaran seolah-olah arahan institusi tertinggi negara boleh ditangguhkan tanpa penjelasan yang kukuh.
Siapa bertanggungjawab apabila titah sudah jelas tetapi pelaksanaan masih tertangguh?
Dalam isu ini, AGC perlu memberikan penjelasan yang lebih menyeluruh kepada rakyat. Jika terdapat kekeliruan, mengapa ia tidak diselesaikan lebih awal? Jika berlaku kelemahan penyelarasan, siapa yang bertanggungjawab? Dan jika terdapat pelanggaran tatatertib, adakah tindakan akan diambil?
Kita tidak boleh mempunyai satu sistem pentadbiran yang hanya cekap mengeluarkan kenyataan tetapi gagal memastikan pelaksanaan keputusan berjalan dengan teratur.
Titah Yang di-Pertuan Agong perlu dihormati. Undang-undang perlu dipatuhi. Pegawai kerajaan juga mesti bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat.
Akhirnya, rakyat mahu melihat bukan sahaja penjelasan, tetapi juga akauntabiliti.
