Showing posts with label BAN Isu Semasa. Show all posts

RON95 Disyaki Bercampur Air, 7 Stesen Minyak Disiasat — Apa Perlu Buat Jika Enjin Kereta Sudah Terguna?

Bayar petrol, tetapi selepas mengisi minyak enjin kereta mula tersengguk-sengguk, hilang kuasa atau langsung tak boleh dihidupkan? Itulah antara masalah yang dilaporkan pengguna dalam aduan berkaitan petrol RON95 yang disyaki bercampur air di Selangor.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor kini menyiasat tujuh stesen minyak susulan 10 aduan rasmi yang diterima. Menurut laporan pada 17 Oktober 2026, sebanyak 27 sampel petrol RON95 telah diambil untuk analisis makmal oleh Jabatan Kimia Malaysia.

Antara masalah kenderaan yang dilaporkan termasuk:

  • Enjin mengeluarkan bunyi luar biasa.
  • Kereta tersengguk-sengguk ketika dipandu.
  • Kuasa enjin berkurangan.
  • Enjin gagal dihidupkan.
  • Kes tertentu melibatkan injap enjin terbakar.

KPDN turut memaklumkan bahawa pemeriksaan pusat servis pengeluar kenderaan mengaitkan kerosakan sesetengah kenderaan pengadu dengan pencemaran air dalam tangki bahan api. Bagaimanapun, keputusan analisis makmal masih diperlukan untuk menentukan sama ada petrol di stesen yang disiasat benar-benar tercemar.

Tujuh Stesen Ada Lesen Sah, Siasatan Masih Berjalan

Pemeriksaan awal mendapati kesemua tujuh premis mempunyai lesen yang sah di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 serta Lesen Kebenaran Khas berkaitan.

Namun, KPDN telah mengeluarkan notis supaya pengusaha stesen berkenaan menyerahkan maklumat dan dokumen perniagaan bagi membantu siasatan.

Kementerian turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang didapati melanggar peraturan.

Apa Perlu Buat Jika Kereta Bermasalah Selepas Isi RON95?

Jika kereta tiba-tiba mengalami masalah selepas mengisi petrol, jangan terus membuat kesimpulan bahawa bahan api tercemar. Masalah enjin boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Antara langkah yang boleh diambil:

1. Berhenti di tempat selamat

Jika enjin kehilangan kuasa, tersengguk dengan teruk atau mengeluarkan bunyi luar biasa, berhenti di lokasi selamat dan dapatkan bantuan. Elakkan memandu jauh jika disyaki berlaku kerosakan.

2. Simpan resit petrol

Simpan resit yang menunjukkan tarikh, masa, jumlah pembelian dan lokasi stesen minyak. Maklumat ini boleh membantu siasatan.

3. Dapatkan pemeriksaan bengkel

Minta mekanik memeriksa kenderaan dan simpan laporan pemeriksaan, termasuk keputusan ujian jika terdapat masalah pada bahan api.

4. Buat aduan kepada KPDN

Pengguna yang terjejas boleh menghubungi KPDN Selangor melalui WhatsApp 019-848 8000 atau talian 1-800-886-800. Maklumat juga boleh disemak melalui saluran rasmi KPDN.

Isu RON95 disyaki bercampur air ini masih dalam siasatan. Tujuh stesen minyak telah diperiksa, tetapi keputusan makmal diperlukan sebelum pencemaran dapat dipastikan.

Bagi pemilik kenderaan, langkah paling penting ialah menyimpan bukti pembelian, mendapatkan pemeriksaan jika enjin bermasalah dan membuat aduan melalui saluran rasmi.

Jangan terus menuduh mana-mana stesen minyak tanpa bukti. Tunggu keputusan siasatan supaya punca sebenar dapat dikenal pasti.

Sumber:

  • RTM: https://berita.rtm.gov.my/kes/senarai-berita-kes/senarai-artikel/isu-petrol-bercampur-air-tujuh-stesen-minyak-disiasat-27-sampel-diambil/
  • Bernama: https://www.bernama.com/en/news.php?id=2621744
  • The Star: https://www.thestar.com.my/news/nation/2026/10/17/seven-petrol-stations-in-selangor-probed-over-ron95-water-contamination

Krisis N9 Makin Rumit! Tuanku Muhriz Dapat 2 Sokongan Undang? Maka?

Kalau korang rasa krisis Negeri Sembilan sekarang sudah cukup rumit, perkembangan terbaru menunjukkan ceritanya masih belum habis. Malah, kalau sebelum ini ramai cuba faham situasi sebagai “2 lawan 2”, keadaan sebenar sekarang lebih rumit daripada itu.

Ada Undang yang sudah digantikan, ada kerusi adat yang diisytiharkan kosong, ada pihak yang masih mempertikaikan keputusan tersebut dan pada masa sama kerajaan negeri dengan Istana pula mempunyai tafsiran berbeza mengenai kedudukan Exco. Pendek kata, bukan satu masalah. Beberapa pertikaian berlaku serentak.

Permulaan Kemelut?

Kemelut ini kembali memanas apabila proklamasi pada 19 April 2026 yang dikaitkan dengan usaha menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Kumpulan Undang Yang Empat sebelum ini mendakwa proklamasi tersebut dibuat mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Kerajaan negeri pula pada 16 September mengumumkan bahawa proklamasi tersebut sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu. Tetapi di sinilah berlaku pertembungan besar.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU), yang dipengerusikan Tuanku Muhriz, mengambil pendirian berbeza. DKU sebelum ini menyatakan dokumen 19 April itu tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kesan perundangan. Jadi sekarang wujud dua pendirian yang bertentangan mengenai kedudukan takhta.

“2 lawan 2”?

Memang sebelum ini empat Undang Luak menjadi antara tokoh utama dalam pertikaian tersebut. Namun status mereka telah berubah. Pada Ogos, DKU mengesahkan Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau.

Kedua-duanya juga hadir bersama Tuanku Muhriz ketika baginda menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir pada 18 September. Sementara itu, DKU menyatakan kedudukan Undang Luak Jelebu adalah kosong selepas menerima keputusan Waris Berundang yang memecat Datuk Maarof Mat Rashad berkuat kuasa 31 Mei 2023.

Adakah situasi sekarang masih lagi boleh dikatakan 2 undang lawan 2 undang?

Siapa pula yang masih mempertikaikan?

Antara nama yang masih muncul dalam pertikaian ialah Datuk Muhammed Abdullah dari Luak Johol serta beberapa tokoh adat lain yang terlibat dalam pertikaian terdahulu.

Mahkamah Rayuan pada awal September turut mempunyai prosiding berkaitan enam individu dalam kemelut DKU, termasuk Maarof Mat Rashad, Muhammed Abdullah dan Abdul Rahim Yasin. Keputusan berkaitan permohonan penggantungan prosiding komital itu masih menjadi sebahagian daripada perkembangan kes.

Jadi, isu ini bukan sekadar siapa sokong siapa. Status undang-undang dan adat setiap individu juga menjadi persoalan.

Isu 10 Exco

Ini yang membuatkan krisis semakin panas. Pada 20 September, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta. Menurut Istana, tindakan itu dibuat selepas Baginda mendapati Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan susulan tindakan mereka berkaitan proklamasi penurunan takhta.

Antara Exco yang pelantikannya dibatalkan termasuk Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim dan enam lagi. Tetapi kerajaan negeri tidak menerima tafsiran itu. Menteri Besar Datuk Ismail Lasim menegaskan 10 Exco berkenaan masih sah menjalankan tugas dan tidak perlu mengemukakan senarai baharu. 

Dan pagi 22 September, perkembangan itu memang berlaku. Exco terbabit dilaporkan tetap masuk pejabat dan meneruskan tugas seperti biasa. Maksudnya, kita sekarang berdepan satu situasi yang agak luar biasa:

Istana kata pelantikan sudah dibatalkan. Menteri Besar kata Exco masih sah. Dan Exco pula masih menjalankan tugas.

Perkara 38(5) pula jadi pertikaian

Di sinilah aspek perlembagaan mula masuk lebih mendalam. Pihak yang menyokong tindakan Tuanku Muhriz merujuk kepada Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Seorang peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff, berpandangan pembatalan pelantikan Exco itu sah dan berkuat kuasa berdasarkan peruntukan tersebut.

Namun terdapat juga tafsiran berbeza.

Peguam yang mewakili pihak Undang Yang Empat berhujah bahawa peruntukan tersebut tidak boleh dibaca sebagai memberikan kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Besar untuk memecat Exco tanpa nasihat Menteri Besar.

Jadi sekarang bukan sekadar pertikaian politik atau adat. Tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan sendiri turut dipertikaikan.

Kerajaan Persekutuan pula masuk ke mana?

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghadap Tuanku Muhriz pada 21 September. Pertemuan itu berlangsung ketika kemelut mengenai kedudukan takhta dan pentadbiran negeri masih berterusan.

Namun pada 22 September, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa beliau dan Menteri Besar Ismail Lasim pernah dititah menghadap Tuanku Muhriz.

Ini menunjukkan bahawa walaupun kerajaan Persekutuan mengambil perhatian terhadap perkembangan tersebut, bentuk penglibatan dan langkah seterusnya masih belum jelas secara terbuka.

Tuanku Muhriz masih menjalankan urusan seperti biasa

Selepas pulang ke Malaysia pada 17 September, Tuanku Muhriz menyatakan baginda kembali untuk menyelesaikan kemelut tersebut. Keesokan harinya, baginda hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir.

Pada majlis tersebut, Undang Luak Sungei Ujong Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Hassan Ab Hamid turut hadir bersama baginda. Baginda juga menerima memorandum taat setia daripada kumpulan yang menyatakan sokongan kepada institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Jadi dari sudut perkembangan di lapangan, institusi Tuanku Muhriz masih menjalankan aktiviti rasmi seperti biasa.

Jadi, siapa sebenarnya yang sah?

Ini soalan paling susah untuk dijawab sekarang. Sebab terdapat beberapa pendirian rasmi yang bercanggah.

DKU menyatakan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah dan dokumen 19 April tidak mempunyai kesan perundangan.

Kerajaan Negeri Sembilan pula sebelum ini mengumumkan bahawa proklamasi tersebut sah dan Tuanku Nadzaruddin telah diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.

Pada masa sama, kerajaan negeri dan Istana mempunyai tafsiran berbeza mengenai status 10 Exco. Sebab itu, untuk orang biasa yang tengok dari luar, memang susah nak faham siapa sebenarnya mempunyai kuasa dalam setiap perkara.

Dan inilah yang membuatkan krisis ini semakin serius

Isunya sekarang bukan lagi hanya tentang siapa Yang di-Pertuan Besar. Ia sudah melibatkan 7 Perkara yang dilihat sukar dileraikan:

  1. Institusi diraja.
  2. Adat Perpatih.
  3. DKU.
  4. Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
  5. Kedudukan Menteri Besar.
  6. Status 10 Exco.
  7. Serta proses mahkamah yang masih berjalan.

Setiap satu pula mempunyai persoalan undang-undang dan adat yang tersendiri. Sebab itu label “2 lawan 2” mungkin terlalu mudah untuk menggambarkan keadaan sebenar pada 22 September 2026.

Yang berlaku sekarang lebih tepat dilihat sebagai pertikaian berlapis antara adat, perlembagaan negeri, institusi diraja dan pentadbiran kerajaan negeri.

Dan yang masih belum terjawab ialah bagaimana semua pihak ini akan kembali kepada satu kedudukan yang boleh diterima secara sah. Buat masa ini, 2 perkara yang mengelirukan rakyat jelas berlaku ;

  1. Krisis Negeri Sembilan masih belum selesai.
  2. 10 Exco yang masih masuk pejabat walaupun pelantikan mereka telah dibatalkan oleh Tuanku Muhriz, bab terbaru ini mungkin menjadi antara titik paling penting dalam keseluruhan kemelut tersebut.

Perkembangan selepas ini mungkin akan banyak bergantung kepada proses perundangan, keputusan mahkamah serta bagaimana pihak-pihak yang terlibat mentafsir Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan adat yang berkaitan.

PANAS! TUANKU BATALKAN STATUS 10 EXCO NEGERI SEMBILAN! - TAPI MB Kata Masih Sah Jalankan Tugas?

Perkembangan politik di Negeri Sembilan menjadi perhatian selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, perkembangan itu tidak berakhir di situ. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim pada Isnin menegaskan bahawa barisan Exco sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Ini kerana beliau mempertikaikan tafsiran undang-undang berhubung kuasa membatalkan pelantikan Exco tersebut.

Kenapa pelantikan semua Exco dibatalkan?

Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan Tuanku Muhriz dibuat selepas Baginda mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan.

Kesemua Exco berkenaan sebelum ini mengangkat sumpah serta menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos 2026 sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menurut Istana, mereka berikrar untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Institusi Diraja, mempertahankan Perlembagaan Negeri Sembilan serta mengiktiraf kuasa Dewan Keadilan dan Undang.

Istana mendakwa sumpah tersebut telah dimungkiri melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September. Susulan itu, perkenan terhadap pelantikan mereka ditarik balik dan pelantikan semua Exco dibatalkan.

Istana arahkan senarai Exco baharu

Dalam kenyataan yang sama, Istana memaklumkan Menteri Besar perlu mempersembahkan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Istana merujuk kepada Perkara XXXVIII(2) dan XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dalam keputusan tersebut.

Istana juga menyatakan bahawa pentadbiran negeri perlu diteruskan tanpa gangguan dan kepentingan rakyat perlu sentiasa dipelihara.

Tetapi MB kata Exco masih sah

Perkembangan menjadi lebih menarik apabila Ismail Lasim memberikan kenyataan balas pada Isnin.

Beliau berkata dirinya tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana anggota Exco di bawah Perkara 38(5).

Atas sebab itu, beliau berkata tidak ada keperluan untuk mengemukakan senarai Exco baharu kerana barisan sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Menurut tafsiran Menteri Besar, sistem pentadbiran Negeri Sembilan berasaskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Beliau turut merujuk Perkara 40(1) UUTKNS 1959 yang, menurutnya, menetapkan Yang di-Pertuan Besar bertindak mengikut nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam menjalankan fungsi pentadbiran negeri.

Ismail juga berkata Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan daripada peruntukan lain seperti Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).

Jadi, siapa yang mempunyai kuasa?

Inilah bahagian yang menjadi persoalan utama dalam perkembangan terbaru Negeri Sembilan.

Istana merujuk Perkara XXXVIII(5) yang menyatakan seseorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Berdasarkan kenyataan Istana, perkenan tersebut telah ditarik balik selepas kesemua Exco didapati melanggar sumpah jawatan.

Sebaliknya, Menteri Besar memberikan tafsiran bahawa kuasa tersebut perlu dibaca bersama peruntukan lain dalam UUTKNS, termasuk perkara berkaitan nasihat Menteri Besar dalam urusan pentadbiran negeri.

Beliau berpendapat pemberhentian Exco tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar merupakan kekhilafan dari sudut undang-undang dan tidak mempunyai kuat kuasa.

Maksudnya, buat masa ini terdapat dua pendirian yang berbeza mengenai kesan undang-undang keputusan tersebut.

Siapa 10 Exco yang terlibat?

Kesemua 10 anggota Exco yang dilantik pada Ogos lalu ialah:

  • Datuk Mohd Faizal Ramli
  • Datuk Mustapha Nagoor
  • Datuk Zaifulbahri Idris
  • Siow Kong Choon
  • Siti Nur Umaira Hasim
  • Datuk Mohd Asna Amin
  • Datuk Mohd Razi Mohd Ali
  • Suhaimizan Bizar
  • Mohd Fairuz Mohd Isa
  • Datuk Razali Abu Samah

Kesemua pelantikan itu kini menjadi subjek pertikaian susulan keputusan Istana dan pendirian Menteri Besar.

Apa yang berlaku selepas ini?

Persoalan paling besar sekarang ialah bagaimana pertikaian tafsiran Perlembagaan Negeri Sembilan ini akan diselesaikan.

Buat masa ini, Istana telah menyatakan bahawa pelantikan kesemua 10 Exco dibatalkan dan meminta senarai baharu dikemukakan.

Pada masa yang sama, Menteri Besar pula menyatakan Exco sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas.

Jadi, perkembangan seterusnya amat penting kerana ia akan menentukan bagaimana pentadbiran kerajaan negeri diteruskan dalam keadaan terdapat dua pendirian berbeza mengenai kedudukan Exco.

Yang pasti, isu ini bukan lagi sekadar mengenai pertukaran beberapa orang Exco.

Ia kini melibatkan persoalan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan bagaimana kuasa antara institusi negeri digunakan dalam urusan pentadbiran.

Buat masa ini, kita tunggu perkembangan rasmi seterusnya daripada pihak Istana, kerajaan negeri dan mana-mana proses perundangan yang mungkin berlaku.