BAN KrukKrek - Farah Diba Dan Gaya Atasi Sembelit

Pernahkah anda berasa sukar untuk membuang air besar dan kadangkala rasa tidak selesa apabila berada di dalam tandas terlalu lama?

Tambah memeritkan apabila masalah pencernaan itu menyebabkan kita berasa sakit selepas membuang air besar. Jika itu terjadi, usah dibiarkan masalah melarat.

Menurut Ketua Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Datin Farah Diba Khan, sembelit berpunca akibat kurang mengambil air kosong selain dikaitkan dengan tahap gaya hidup individu itu sendiri.

“Masalah sembelit atau sukar membuang air besar tiada kaitan dengan keturunan, tetapi ia bergantung kepada gaya hidup seseorang sama ada mereka aktif bersenam atau bergerak setiap hari.

“Kebiasaannya individu yang mengalami masalah sembelit membabitkan mereka yang hanya duduk sama ada di hadapan komputer ketika bekerja atau tidak banyak bergerak ketika di rumah.


“Ia juga sering dikaitkan dengan pengambilan air kosong yang sedikit walaupun kebanyakan kita lebih suka menyalahkan makanan apabila berlaku sembelit,” katanya.

Bukan itu saja, perubahan gaya hidup seperti tekanan atau menghadapi cuaca berbeza ketika bercuti juga menjadi punca masalah berkenaan yang boleh berlaku tidak mengira masa.

Kadangkala ada sesetengah pesakit yang mengalami masalah kronik seperti strok juga berisiko untuk menghadapi sembelit terutama bagi mereka yang tidak boleh bergerak.

Sembelit bukan hanya berlaku dalam kalangan orang dewasa saja malah segelintir kanak-kanak juga mendapat sembelit.

Ia disebabkan sesetengah ibu bapa yang terlalu bergantung kepada pemberian susu saja tanpa menggalakkan anak mengambil minuman kosong.

“Tanggapan memberi minuman susu saja kepada anak kecil sudah mencukupi ternyata salah kerana kebanyakan susu hanya mengandungi protein dan karbohidrat.

“Apabila kanak-kanak sudah kenyang selepas menghisap susu, mereka kurang berselera untuk makan dan minum air kosong, sekali gus memberi kesan kepada kelancaran proses pencernaan.

“Disebabkan itu mereka memerlukan air kosong yang banyak untuk membantu proses penghadaman setiap hari,” katanya.

Selain anak kecil, kira-kira 90 peratus ibu hamil juga tidak terkecuali mengalami masalah sembelit terutama apabila kandungan mula memasuki trimester ketiga dan ke atas.

Ini disebabkan kandungan yang semakin membesar dan menekan bahagian bawah perut yang membuatkan ibu hamil sukar membuang air besar walaupun sudah mengambil minuman dalam jumlah yang disarankan dan sentiasa bergerak aktif.

Mengurangkan masalah sembelit
Bagi penghidap masalah sembelit, Farah Diba menasihati supaya individu itu mengamalkan pengambilan air kosong antara enam hingga lapan gelas sehari.
Namun, apabila berada dalam cuaca yang panas, ia tidak mencukupi dan sekurang-kurangnya ambil 1.5 liter hingga dua liter air sehari untuk memastikan proses penghadaman dan penghidratan berjalan lancar.

Selain air, sumber makanan yang mempunyai kandungan serat tinggi antara keperluan yang boleh ditambah ke dalam senarai diet harian kerana ia dapat membantu menyelesaikan masalah sembelit.

Misalnya, buah-buahan yang tinggi kandungan serat seperti jambu batu, betik dan pisang. Amalan pengambilannya setiap hari membantu melembutkan sisa makanan di dalam perut berbanding buah-buahan daripada kategori yang mengandungi banyak air.
“Bukan hanya buah-buahan, semua jenis sayuran terutama berdaun hijau sesuai bagi penghidap masalah sembelit. Tambahkan juga sumber serat daripada roti jenis gandum dan bijian penuh kerana ia lebih lembut di dalam perut dan menjalani proses lama untuk dihadam kerana mengembang.
“Jika anda kurang menggemari rasa tawar roti gandum dan bijian penuh terutama kanak-kanak, boleh juga gandingkannya bersama roti putih dalam sandwic yang dilapisi sayuran atau tuna bagi menambah rasa enak,” jelasnya yang turut menyarankan pengambilan sumber bijirin seperti oat kerana mengandungi serat tinggi.

Namun Farah Diba menegaskan pengambilan sumber serat yang banyak dalam diet harian harus dibantu dengan menambahkan jumlah air kosong yang diminum untuk memastikan cara itu berkesan dalam mengurangkan masalah sembelit.

Jika kurang minum air, ia akan menyebabkan makanan seperti roti yang dimakan tidak dapat mengembang seperti biasa yang akhirnya membuatkan kita rasa loya atau angin.

Bukan itu saja, malah roti yang tinggi dengan sumber makanan kaya serat itu juga sesuai diamalkan bagi individu yang ingin menguruskan badan.

“Untuk hidangan lengkap dalam sehari, individu yang mengalami masalah sembelit disarankan supaya menambah sumber serat dalam diet harian mereka sebanyak 60 hingga 70 gram bersama dua liter air kosong.

“Jumlahnya banyak dan semua sumber serat itu bukan diambil dalam satu sajian saja, tetapi cuba tambah dalam hidangan sarapan, makan tengah hari, minum petang atau makan malam.

“Misalnya, sarapan dengan bijirin oat, makan tengah hari bersama nasi daripada beras perang manakala sajian petang pula sandwic daripada roti gandum yang semuanya harus dinikmati bersama sayur dan buah,” katanya.

Ibu bapa perlu sediakan hidangan yang menarik bagi menggalakkan ­anak-anak dapat menghabiskan sajian yang diberikan bagi mengelakkan masalah sembelit terus berulang.

Farah Diba menasihati individu yang bermasalah sembelit harus sentiasa bergerak aktif bagi menggalakkan sistem penghadaman dan proses penghidratan berjalan lancar selain mengambil minuman kosong dalam kuantiti yang banyak.

Paling penting jangan ambil sumber serat dalam kadar berlebihan setiap hari kerana menganggap ia dapat membantu menyelesaikan masalah sembelit dengan kadar segera.

Info Asal : HMetro

Post a Comment

3 Comments

  1. sembelit tu best tak?

    ReplyDelete
  2. amalkan minum satu sudu minyak zaitun + air suam sebelum tidor...
    dengan Izin Allah akan sembuh

    ReplyDelete