Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengadakan solat hajat perdana 'Untukmu SPRM' bagi memohon supaya agensi tersebut diberikan petunjuk serta takdir yang terbaik.

Solat hajat di surau SPRM yang diadakan selepas solat Zohor itu tadi diimamkan oleh bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar dan disertai kira-kira 100 warga kerjanya.

Selepas solat, Zakaria membacakan doa mathurat yang dipenuhi dengan kata-kata membesarkan Allah, merendahkan hati serta meminta agar warganya dijauhi dari tergolong dalam kalangan mereka yang memberi dan menerima rasuah.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Mohamad Jamidan Abdullah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Mustafar Ali dan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Azam Baki.


(Kosmo)