Pembentangan Laporan 1MDB Ditangguh Lagi !!!


Menggunakan alasan komitmen ahli, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menangguhkan pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara berhubung syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Ketua audit negara seharusnya membentangkan laporan audit Jabatan Audit Negara berhubung syarikat pelaburan strategik negara itu esok dan Khamis pada mesyuarat PAC akan tetapi ahli diberitahu sebaliknya dalam satu mesej lewat malam tadi.
Salam hormat Dato'/Datuk/YB, adalah dimaklumkan memandangkan ramai ahli PAC berada di luar negara, ada yang menunaikan umrah dan mempunyai komitmen penting, pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara berhubung 1MDB yang dijadualkan 24 dan 25 Februari ini, ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, terima kasih – Johan Afandi, KS PAC,” kata mesej diterima ahli PAC lewat malam tadi.
Tidak dapat dipastikan siapa di kalangan ahli PAC yang berada di luar negara atau mengerjakan ibadah umrah memandangkan Parlimen hanya akan bersidang pada 7 Mac.

PAC mempunyai 14 ahli ketuai pengerusinya, Datuk Hasan Arifin, ahli Parlimen Rompin daripada Barisan Nasional (BN) yang menggantikan Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed kerana dilantik menjadi timbalan menteri dalam negeri Julai lalu.

Empat ahli Parlimen BN menggantikan Nur Jazlan dan 3 lagi yang menyertai pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas rombakan Kabinet mengejut menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal disingkirkan.

Ahli Parlimen PAS juga menggantikan seorang lagi yang meletakkan jawatan kerana menyertai PKR.

Pada 11 Februari, pengerusi PAC berkata, keutamaan pada ketika ini ialah pembentangan Laporan Akhir Ketua Audit Negara berhubung 1MDB kepada jawatankuasa bi partisan itu pada 24 dan 25 Februari.
Selepas daripada pembentangan laporan akhir ketua audit negara ini, jika sangat perlu dan ada kewajaran dalam membantu PAC bagi mendapatkan maklumat membuat laporan berhubung pengurusan kawalan urus tadbir 1MDB ke Parlimen, barulah jawatankuasa ini akan menimbang memanggil saksi, katanya. 
Beliau menggesa orang ramai tidak meragui ketelusan laporan PAC yang bakal dibentangkan di Parlimen.
Keutamaan PAC ketika ini, adalah mendengar pembentangan ketua audit negara berhubung laporan akhir pengauditan 1MDB dan menyiapkan laporan PAC bagi dibentangkan ke Parlimen secara telus dan adil, katanya.
Hasan pada Januari melahirkan kebimbangan PAC mungkin tidak dapat membentangkan laporannya di Parlimen pada sesi akan datang.

Di antara yang sudah memberikan keterangan kepada PAC ialah bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, bekas presiden 1MDB Datuk Shahrol Halmi dan presiden merangkap pengarah eksekutif kumpulan 1MDB terkini, Arul Kanda Kandasamy.

Jawatankuasa itu juga mengatakan orang ramai tidak seharusnya meragui laporan PAC kerana mereka diwakili ahli daripada semua parti termasuk pembangkang.

Ahli PAC Tony Pua mengatakan baru-baru ini Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman seharusnya memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

Akan tetapi Hasan berkata, keterangan Hazem tidak diperlukan kerana isu semasa beliau bersama 1MDB sudah dijawab Lodin dalam prosiding sebelumnya.

Siasatan PAC terhadap 1MDB sudah bermula sejak Mei 2015 apabila mengarahkan ketua audit negara untuk menyemak akaun syarikat sarat hutang itu sejak ditubuhkan pada 2009.
1MDB yang mempunyai kepentingan dalam industri hartanah dan tenaga menjual unit tenaga Edra Global Ebergy Bhd kepada General Nuclear Power Corporation (CGN) dari China November lepas dengan harga RM9.83 bilion secara tunai.
Pada hari terakhir 2015, 1MDB bersetuju menjual 60% ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd dengan harga RM7.41 bilion, sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi untuk mengurangkan hutang RM45 bilion mereka.
Ekuiti yang dijual kepada konsortium terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd, kata 1MDB.
Bagaimanapun, siasatan terhadap hutangnya diteruskan selepas penjualan itu melibatkan penguat kuasa di Switzerland, Hong Kong dan Singapura yang mengatakan mereka melihat kepada pelbagai isu membabitkan transaksi wang.

(MalaysiaInsider)

Post a Comment

2 Comments

  1. Dah dijangka... Tak heran pun. Duk pusing sana sini nak cakap najib tak bersalah. Pembentangan nanti tunggu nak cakap najib razak tidak terlibat jer. Tu jer

    ReplyDelete
  2. Kah kah kah kah kah

    ReplyDelete