Kenapa PM & Anggota Kabinet Tidak Istihar Harta Kepada SPRM ?


Perdana menteri, anggota kabinet dan ketua-ketua institusi utama perlu mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti di peringkat atasan, kata Transparency International-Malaysia (TI-M).

Ketua pesuruhjaya SPRM pula perlu mengisytiharkan hartanya kepada Parlimen, kata Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar dalam satu kenyataan.

Akhbar berkata ini perlu sebagai langkah pertama, sebelum akhirnya, semua orang-orang ini mengisytiharkan secara terbuka harta melalui talian.
"Tidak ada bahaya, kerana setiap tahun senarai teratas 10 orang terkaya di Malaysia (dan nilai bersih mereka) disiarkan dalam media," katanya.
Gesaan untuk pengisytiharan harta oleh anggota institusi utama di Malaysia telah dibuat berulang kali.

Anggota pentadbiran, bagaimanapun, berkata ia berisiko kerana boleh mendedahkan anggota keluarga kepada berisiko penculikan untuk wang tebusan.

Pada masa ini, anggota kabinet mengisytiharkan harta mereka kepada perdana menteri, manakala ketua jabatan dan kementerian mengisytiharkan harta mereka kepada ketua setiausaha kepada kerajaan.

Akhbar berkata harta perlu diisytiharkan oleh semua anggota eksekutif, peguam negara, ketua polis negara, panglima Angkatan Tentera Malaysia dan pihak pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Perisytiharan itu perlu dilakukan sebelum dan selepas memegang jawatan, dengan analisis nilai bersih dijalankan secara berkala.

Proses itu harus merangkumi harta pasangan, tanggungan dan lain-lain anggota keluarga terdekat, serta kepentingan komersial atau institusi yang disertainya.

Akhbar berkata satu bahagian khas yang terdiri daripada pakar perakaunan forensik dan penyiasat perlu ditubuhkan untuk melakukannya.

Katanya, mereka akan menyiasat dan mendakwa mereka yang gagal mematuhinya.

Amalan seperti ini juga boleh mengelakkan tuduhan palsu dan meningkatkan kepercayaan orang ramai, kata Akhbar.

MK

Post a Comment

1 Comments