Khairuddin - PAS Mungkin Boleh Bekerjasama Dengan UMNO


PAS mungkin boleh bekerjasama dengan Umno namun tidak dalam tempoh sekarang, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, tegas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mursyidul Amnya, Hashim Jasin yang dilaporkan sebagai berkata parti itu tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno pada masa hadapan.

Selepas mengambil pendirian membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR pada Khamis lalu, menurut Hashim, PAS kini mengambil sikap terbuka dan sedia berbincang dengan mana-mana parti.
"Kenyataan Mursyidul Am PAS itu saya perlu pastikan dahulu ayatnya bagaimana, bimbang lain yang dimaksudkan.
"Jika Umno berubah memperjuangkan Islam, maka ia adalah sesuatu yang boleh difikirkan untuk jangka masa panjang. Namun untuk hari ini, PAS berdepan dengan Umno dalam politik. Umno belum dilihat lagi benar-benar memperjuangkan Islam.

"Cuma kita boleh bekerjasama dalam hal kebajikan dan memperkasakan Islam, seperti RUU 355. Untuk pilihan raya, jelasnya PAS akan berdepan dengan Umno atas tema PAS menggantikan Umno," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Terdahulu, Hashim yang dipetik Utusan Online dilaporkan berkata, PAS tidak menolak sebarang kemungkinan untuk mengadakan kerjasama politik dengan Umno pada masa hadapan.

Menurut Hashim, ini berikutan sikap yang ditonjolkan Umno, terutamanya Presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang mengutamakan konsep Islam dalam pentadbirannya.

Menjelaskan lebih lanjut, Khairuddin mengingatkan mana-mana pihak, termasuk Umno yang berminat menjalin kerjasama dengan PAS perlu meletakkan Islam sebagai syarat penting kerjasama.
"Umumnya PAS terbuka bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh membantu misi menegakkan Islam di Malaysia. Itu fakta yang penting bagi PAS, tak kira sesiapa. Jika dahulu kita boleh bekerjasama dengan DAP dan PKR, itu atas alasan membantu supaya Islam dapat ditegakkan di negara ini. Itulah asas ketika kita bersama.

"Apabila Islam dilihat diserang oleh DAP, kemudian agenda Islam tidak disokong oleh PKR, maka kita putuskan tahaluf siyasi. Jadi asas dalam sebarang bentuk kerjasama politik ialah bagaimana ia boleh membawa keuntungan kepada Islam dan umat," katanya lagi.

AP

Post a Comment

1 Comments